VS Industry yakin tangani cabaran separuh kedua tahun kewangan 2019
V. S. Industry Bhd (VS) yakin dapat menangani cabaran separuh kedua tahun kewangan 2019 menerusi pemerolehan tempahan baharu daripada pelanggan sedia ada dan yang berpotensi, kata Pengarah Urusan, Datuk Gan Sem Yam.
“Berdasarkan rekod prestasi kami yang kukuh bagi penyerahan produk berkualiti tepat pada masanya sehinggalah kepuasan pelanggan, kami yakin dapat mengharungi cabaran itu,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Beliau berkata pengeluar produk elektrik dan elektronik hanya mengalami tempoh sukar bagi jangka pendek.
Turun naik jumlah tempahan sememangnya berlaku dalam industri disebabkan pelbagai faktor seperti peranan permintaan pasaran, kitaran hayat produk atau perubahan strategi pasaran, katanya menjelaskan jangkaan kelembapan tempahan daripada pelanggan utama pada separuh kedua tahun kewangan 2019.
Mengenai prospek, Gan berkata, perang perdagangan yang berlanjutan antara Amerika Syarikat dan China telah, sebenarnya, membuka banyak peluang untuk VS.
Malah, syarikat mendapat banyak pertanyaan daripada syarikat multinasional AS yang berhasrat memindahkan atau mempelbagaikan kemudahan pembuatan mereka ke Asia Tenggara, katanya.
“Kami berada di kedudukan terbaik untuk mendapatkan peluang ini. Waktu yang sesuai amat penting memandangkan kami mempunyai dua lagi kemudahan dengan ruang pengeluaran gabungan seluas 300,000 kaki persegi bersedia untuk perniagaan baharu,” katanya.
Gan juga berkata, asas syarikat kekal teguh dengan lembaran imbangan positif, termasuk tahap kadar hutang bersih yang baik iaitu hanya 0.2 kali serta aset bersih sesaham RM0.84 setakat 31 Okt, 2018, untuk menyokong operasi. — Bernama