Utusan Borneo (Sarawak)

Segera tangani isu sakit mental: Lee Lam Thye

-

Kerajaan digesa segera menangani isu sakit mental dan memperting­katkan program berkaitan pembanguna­n kesihatan mental di negara ini.

Anggota Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye berkata kejadian terbaharu di mana dua kanak-kanak kecil dibunuh jiran mereka di Yan, Kedah semalam, sepatutnya menjadi peringatan kepada semua pihak mengenai betapa seriusnya isu berkenaan.

“Seperti bom jangka, mereka yang menghidap sakit mental boleh ‘meletup’ bila-bila masa yang boleh menjejaska­n keluarga dan masyarakat, selain syarikat atau jabatan kerajaan tempat di mana mereka bekerja.

“Lebih banyak usaha perlu diambil untuk mempromosi­kan pembanguna­n kesihatan mental di peringkat momuniti selain orang ramai memainkan peranan untuk mengatasi pelbagai masalah yang kini semakin meningkat disebabkan pelbagai faktor,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, walaupun sesetengah orang akan mencari rawatan altrnatif untuk cuba menyembuhk­an sakit mental, adalah lebih baik jika mereka dirujuk kepada pakar psikologi untuk membuat penilaian terhadap tahap kesihatan mental pesakit berkenaan.

“Pencegahan awal sudah tentu dapat mengurangk­an kemungkina­n penghidap sakit mental bertindak ganas atau melakukan perbuatan ekstrem seperti membunuh orang atau membunuh diri,” kata beliau.

Beliau menambah, kadangkada­ng kelainan atau sakit mental boleh berpunca daripada penyalahgu­naan dadah dan ia seharusnya membuka mata orang ramai untuk melihat betapa seriusnya isu berkenaan dan masyarakat mesti mencari jalan bagaimana hendak menangani masalah ketagihan dadah yang jumlahnya meningkat saban tahun.

“Perkembang­an kesihatan mental adalah sangat kritikal dan seluruh anggota masyarakat perlu bersama- sama mengatasi masalah kesihatan mental ini. Jika kita mengabaika­nnya maka kitalah yang akan menanggung akibatnya.

“Semua pihak haruslah berhenti mencela pesakit mental yang sering kali dianggap sebagai ‘orang gila’. Daripada mencela atau menghina mereka, anggota masyarakat sepatutnya menolong penghidap masalah mental mendapatka­n khidmat kaunseling atau rawatan psikiatri,” kata beliau.

Dalam kejadian terbaharu, suspek dilaporkan membunuh mangsa selepas terlibat dalam pergaduhan dengan bapa mangsa sebelum itu.

Tragedi yang berlaku pada 9.30 malam itu meragut nyawa Muhammad Hafis, 14 bulan, yang dikelar di leher dan kakaknya berusia empat tahun, Nurul Hanim Idris, yang ditetak seluruh badan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia