Utusan Borneo (Sarawak)

Hotel wilayah tengah patuhi perintah gaji minimum

-

Hotel di wilayah tengah kebanyakan­nya mematuhi perintah gaji minimum berkuat kuasa dengan pelarasan gaji pekerja mereka kepada RM1,100.

Pengerusi Persatuan Hotel Wilayah Tengah Sarawak Johnny Wong berkata dengan perbelanja­an tambahan daripada pelarasan gaji kakitangan mereka, pengusaha hotel kini perlu memikirkan bagaimana mereka dapat menjimatka­n perbelanja­an untuk kekal bertahan dalam perniagaan mereka.

Persatuan itu mempunyai lebih daripada 50 ahli di rantau ini termasuk Sibu, Kapit, Mukah, Bintangor dan Sarikei.

“Dengan kemeleseta­n ekonomi ditambah dengan rang undang-undang gaji tambahan ini, pengusaha hotel perlu bijak bagaimana mereka akan terus kekal dalam industri perhotelan,” katanya di sini semalam.

Wong menambah, kekurangan pelancong asing melawat bandar Sibu merupakan satu cabaran dalam perniagaan tersebut.

“Industri hotel amat bergantung kepada pelancong tetapi kita tidak mempunyai jumlah pelancong ramai datang ke sini.

“Rekod kedatangan pelancong rendah menjadi kebiasaan sejak bertahun lalu dan kekurangan daya tarikan pelancong atau tempat menarik di bandar ini penyebab utama,” katanya.

Tambahnya, hotel bertaraf bintang tidak terjejas teruk semasa kemeleseta­n ekonomi ketika ini kerana mereka mempunyai tetamu menempah bilik untuk mengadakan upacara seperti seminar, bengkel dan majlis makan malam.

Wong berkata, sejak pelarasan gaji dikuatkuas­akan daripada RM1,050 kepada RM1,100 bulan ini, tiada pekerja diberhenti­kan kerana kebanyakan hotel bajet mempunyai kakitangan kecil.

“Kebanyakan hotel bajet mempunyai maksimum empat kakitangan sahaja dan terdapat hotel bajet mempunyai seorang pekerja kerana pengusaha itu tidak mampu mengambil ramai pekerja,” katanya.

Namun, pekerja hotel mendapat gaji baharu sekarang tidak akan disuruh bekerja lebih masa kerana salah untuk berbuat demikian.

Sementara itu, beliau berkata terdapat banyak hotel bajet di sini belum menyertai persatuan.

“Kebanyakan pemilik hotel bajet tidak menyertai persatuan dan kami tidak boleh memaksa mereka.

“Namun, ada kebaikan jika mereka menjadi sebahagian daripada kami kerana setiap kali mereka menghadapi masalah kami cuba membantu mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia