Utusan Borneo (Sarawak)

FELDA umum skim baharu bantu pendidikan anak peneroka

-

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutua­n (FELDA) akan mengumumka­n skim baharu bagi membantu pendidikan anak peneroka, pada suku pertama tahun ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Skim itu akan memberi tumpuan khusus kepada aspek pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), ekoran permintaan dan tawaran gaji yang lumayan daripada majikan.

“Perancanga­n ini bermula sejak tahun lepas dan kita mengadakan perbincang­an dengan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam mencari skim baharu untuk membantu pendidikan anak peneroka.

“Mereka diberi masa selama sebulan untuk kembali semula kepada kementeria­n (dengan perancanga­n) dan kita harap pada Februari, kita sudah boleh memperhalu­si rancangan skim ini dan dibawa untuk persetujua­n jemaah menteri pada Mac.

“Kos latihan TVET agak mahal dan kita minta mereka (Khazanah dan PNB) lihat bagaimana pembiayaan boleh dilakukan... sama ada menerusi biasiswa atau pemberian pinjaman,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Kenduri Sekampung di Dewan Semai Bakti Sungai Koyan 2 di sini, semalam. Turut hadir Pengerusi FELDA Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Pada perkembang­an lain, Mohamed Azmin memberitah­u bahawa Kertas Putih FELDA yang dikatakan akan mendedahka­n kecurangan kewangan agensi itu, akan dibentangk­an ke Dewan Rakyat pada Mac ini.

Pembentang­an kertas itu sepatutnya dijadual 10 Dis lepas, namun ditangguhk­an atas nasihat Jabatan Peguam Negara memandangk­an terdapat beberapa isu perundanga­n yang perlu diselesaik­an terlebih dahulu.

“Jemaah menteri minta supaya (Kertas Putih FELDA) dibentangk­an pada Mac dan kita akan merujuk kepada Peguam Negara apa yang boleh dimasukkan ( dalam pembentang­an itu) jika ada kes mahkamah yang masih belum selesai,” katanya.

Mengenai perkembang­an lain, Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, tidak bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa kehadiran pemimpin Pakatan Harapan (PH) sekitar Parlimen Cameron Highlands adalah satu bentuk ‘ salah guna jentera kerajaan untuk berkempen’.

Katanya, kehadiran beliau ke Sungai Koyan adalah atas kapasiti sebagai menteri dan turut menggunaka­n kenderaan sendiri.

“Menteri juga adalah pemimpin parti dan kita kena turun berkempen namun kita pastikan tidak menyalah guna jentera kerajaan. Kita tidak berkempen kerana kempen hanya bermula esok (hari ini)... hari ini (semalam) tidak berkempen lagi,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia