Utusan Borneo (Sarawak)

PRK Cameron Highlands persaingan sengit buat PKR

-

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang menyifatka­n Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini sebagai persaingan sengit, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Fuziah Salleh.

Beliau berkata jentera Pakatan Harapan (PH) tidak boleh terlalu selesa kerana pertembung­an kali ini secara tidak langsung ialah perlawanan antara kerajaan Pusat di bawah PH dengan kerajaan negeri Pahang yang masih di bawah pentadbira­n Barisan Nasional (BN).

Selain itu, strategi BN menurunkan bekas pegawai kanan polis keturunan Orang Asli, Ramli Mohd Nor juga menjadikan PRK Cameron Highlands lebih menarik memandangk­an 22 peratus pengundi di kawasan itu adalah Orang Asli, katanya.

“Kita berharap masyarakat Orang Asli sedar bahawa Pakatan Harapan (PH) mengambil berat isu berkaitan Orang Asli sejak dahulu dan telah berjuang dalam isu-isu yang menghambat mereka seperti isu tanah adat, kemiskinan dan air bersih.

“Masih ramai masyarakat ini yang bergantung kepada sungai sebagai sumber air dan kami di PH adalah antara yang kerap membangkit­kan isu berkaitan pencemaran termasuk di Cameron Highlands kerana menyedari kepentinga­n air bersih kepada golongan ini,” katanya.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan mendengar taklimat jentera PH di Bilik Gerakan PH Sungai Koyan di Felda Sungai Koyan 3 di sini, semalam.

Beliau juga optimis masyarakat Orang Asli semakin bijak dalam menilai perkara yang baik, mengambil kira punca PRK Cameron Highlands adalah kerana pemberian rasuah melibatkan masyarakat itu dan mereka juga yang memberi keterangan di Mahkamah Pilihan Raya.

“... ini adalah petanda dan permulaan yang baik kepada PH. Kita berharap mereka tidak mudah terpedaya dengan cara memberi imbuhan namun tidak membina nasib Orang Asli dalam jangka panjang,” katanya.

Fuziah berkata beliau juga mengalu-alukan pemantauan daripada BERSIH 2.0 dan organisasi lain sepanjang perjalanan PRK Cameron Highlands bagi memastikan ketelusann­ya.

Pada 30 Oktober lepas, Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur memerintah­kan PRK Cameron Highlands diadakan selepas membatalka­n kemenangan calon BN Datuk C. Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 selepas berpuas hati berlaku pemberian rasuah untuk mendapatka­n undi.

Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumka­n pakatan itu akan diwakili M.Manogaran dan turut melahirkan hasrat untuk bertanding pada PRK itu ialah Presiden PPP Tan Sri M. Kayveas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia