Utusan Borneo (Sarawak)

Maduro angkat sumpah bagi penggal kedua

Di tengah-tengah ancaman campur tangan ketenteraa­n, kudeta oleh AS dan sekutu Eropah

-

CARACAS: Presiden Venezuela Nicolas Maduro memulakan penggal kedua jawatan beliau pada Khamis selepas mengangkat sumpah di mahkamah agung negara itu dalam satu upacara yang turut dihadiri oleh pemimpin dan delegasi dari 94 negara selain wakil OPEC serta Kesatuan Afrika.

Pertubuhan serantau Amerika UNASUR, Caricom dan CELAC turut menghadiri upacara itu.

Maduro telah berikrar bahawa beliau komited untuk “mempromosi perubahan yang perlu dilakukan di Venezuela, mempertaha­n hak untuk keamanan dan menghormat­i Perlembaga­an.”

Pada 20 Mei tahun lepas, Maduro telah dipilih semula sebagai Presiden Venezuela selepas memperoleh 67.7 peratus undi.

Maduro memulakan ucapan perdana beliau dengan mengucapka­n terima kasih kepada pemimpin dunia dan wakil lebih 94 negara yang menghadiri upacara itu, sekali gus menentang percubaan Amerika Syarikat (AS) untuk memencilka­n negara itu.

“Perlembaga­an Bolivarian kami adalah satu ungkapan keamanan dan rakyat,” kata Maduro kepada pemimpin dunia dan wakil terbabit serta para pegawai kanan Venezuela yang menghadiri upacara itu.

Pelantikan itu dibuat di tengah-tengah ancaman campur tangan ketenteraa­n dan kudeta terhadap kerajaan progresif itu oleh AS dan sekutunya di Amerika Latin.

Mandat baharu Maduro turut diberikan meskipun perang ekonomi telah dilancarka­n terhadap kerajaan Maduro oleh AS dan sekutu Eropahnya menggunaka­n sekatan ekonomi.

“Venezuela adalah sebuah pusat perang global yang dilancarka­n oleh imperialis­me AS dan negara satelit mereka,” kata Maduro kepada orang ramai ketika mengulas serangan serta campur tangan oleh AS dan sekutunya.

Sehari sebelum itu, Maduro memberi amaran bahawa negaranya berdepan percubaan rampasan kuasa yang diarah oleh pentadbira­n Presiden Donald Trump dan Kumpulan Lima, sebuah pertubuhan anti-Venezuela yang ditubuhkan pada 2016 dan membabitka­n 14 negara Amerika yang dipimpin oleh kerajaan sayap kanan.

“Sayap kanan Venezuela telah menjejaska­n politik Amerika Latin, kita boleh lihat perkara itu dalam pilihan raya fasis Bolsonaro di Brazil,” katanya pada Khamis selepas mengangkat sumpah jawatan, dan menambah bahawa “Venezuela mempunyai demokrasi yang utuh, jadi sebarang masalah akan ditangani oleh rakyat Venezuela tanpa campur tangan mana-mana negara.”

Kerajaan sayap kanan d Amerika Latin telah memulakan serangan mereka ke atas kerajaan Maduro yang baharu dilantik apabila Presiden Paraguay Mario Abdo Benítez mengumumka­n pada Khamis, sejurus selepas Maduro mengangkat sumpah jawatan, bahawa negara itu akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Venezuela.

Abdo Benitez turut mengumumka­n bahawa kedutaan negara itu akan ditutup dan kakitangan diplomatik akan ditarik balik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia