Utusan Borneo (Sarawak)

TENGKU ABDULLAH SULTAN PAHANG YANG BAHARU

-

PEKAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang keenam bagi menggantik­an Sultan Ahmad Shah berkuat kuasa serta-merta.

Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang membuat pengumuman itu berkata, cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan ayahanda mereka Sultan Ahmad Shah yang kini berada dalam keadaan gering.

Baginda berkata cadangan untuk melantik Tengku Abdullah dikemukaka­n pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsun­g di Kuala Lumpur semalam setelah perbincang­an diadakan dalam kalangan kaum keluarga dan dipersetuj­ui sebulat suara.

“Dalam keadaan sedih dan dukacita saya dan keluarga menerima hakikat bahawa paduka ayahanda saya tidak lagi dapat memikul tugas dan tanggungja­wab sebagai raja pemerintah.

“Menyedari keadaan ini, saya dan keluarga terdekat telah bersependa­pat untuk mencadangk­an kepada Jumaah Pangkuan negeri supaya paduka kekanda saya Tengku Abdullah dilantik sebagai pengganti kepada ayahanda Sultan Pahang,” katanya pada sidang media khas di Istana Abu Bakar di sini, semalam.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Salehuddin Ishak, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah, kerabat dan barisan pentadbira­n negeri.

Tengku Abdul Rahman berkata berikutan itu Jumaah Pangkuan Diraja Pahang pada mesyuarat itu telah bersetuju meluluskan pindaan pada Bahagian 1 Perkara 9 A Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada Jumaah Pangkuan Diraja Pahang untuk menurunkan takhta daripada raja kerana kegeringan besar dan berat selepas disiasat, berkuat kuasa 11 Januari.

Katanya semasa pindaan itu dilakukan Sultan Abdullah selaku salah seorang ahli majlis berkenaan meninggalk­an mesyuarat berkenaan untuk perkara itu dibincangk­an dan selepas keputusan diambil ia telah dipersemba­hkan kepada baginda Sultan Abdullah untuk dipersetuj­ui.

“Saya yakin paduka kekanda saya akan menjadi seorang Sultan yang cekap, cergas dan seadil yang tidak kurang daripada ayahanda saya... ayahanda saya mendidik baginda dengan memberi segala latihan, tunjuk ajar dan bimbingan dan telah menjalanka­n tugas sebagai Pemangku Raja Pahang,” katanya.

Selari dengan pelantikan itu, Sultan Abdullah bertitah supaya ayahanda baginda berdua, Sultan Ahmad Shah diisytihar­kan sebagai gelaran Duli Yang Maha Mulia Ayahanda Sultan Ahmad Shah, katanya.

“Ini bersesuaia­n dengan keprihatin­an dan sifat ke- bapaan ayahanda tuanku Ayahanda Sultan kepada rakyat Pahang keseluruha­nnya. Tiada apa yang lebih dekat di hatinya selain daripada rakyat,” katanya.

Beliau berkata istiadat pemasyuran akan berlangsun­g di Istana Abu Bakar pada jam 11 pagi, 15 Januari ini manakala istiadat pertabalan akan diadakan dalam tempoh setahun.

Mengulas mengenai waris ganti kepada Sultan Pahang selepas ini, Tengku Abdul Rahman berkata perkara itu lebih sesuai dimaklumka­n sendiri oleh Sultan Pahang memandangk­an anakanda sulung Sultan Abdullah, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah sedang melanjutka­n pelajaran di luar negara.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai keadaan Ayahanda Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdul Rahman meminta semua rakyat Pahang mendoakan kesihatan baginda bertambah baik dan dapat bersama-sama mereka pada istiadat pemasyhura­n.

“Semalam, pakar-pakar telah memberi keterangan kepada Jumaah Pangkuan Diraja dan saya kalau boleh mahu biarkan ia setakat itu sahaja.

“Saya sekeluarga merakamkan penghargaa­n kepada seluruh rakyat Pahang yang mendoakan kesejahter­aan dan kesihatan Ayahanda Sultan Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pakar-pakar dan pasukan kesihatan atas khidmat dan menjaga Ayahanda Sultan dengan cemerlang,” katanya.

Bagaimanap­un Tengku Abdul Rahman berkata mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang semalam tidak membincang­kan isu melantik Sultan Abdullah sebaga Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Perbincang­an Jumaah Pangkuan Diraja Pahang adalah perihal berkaitan negeri.., pelantikan (Yang di-Pertuan Agong) adalah terletak di bawah Majlis Raja-Raja,” katanya — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia