Utusan Borneo (Sarawak)

PERKIM Limbang perluas dakwah mendekati golongan mualaf

-

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Limbang memperluas­kan dakwah Islamiah dengan mendekati golongan mualaf di luar bandar yang dapat diakses dengan jalan darat dan sungai.

Pengerusi PERKIM Limbang Dayang Maimunah Awang Mohd Daud berkata usaha mendekati golongan itu dilakukan sejak 2015 dengan melantik ahlinya turun padang ke pedalaman.

Beliau berkata, pegawai tempatan turut dilantik menyampaik­an maklumat dan dakwah sekali gus menyaranka­n mereka mendaftar dengan PERKIM Limbang.

“PERKIM Limbang memang berusaha turun padang mendekati golongan mualaf di luar bandar dan usaha ini dilakukan sejak 2015,” katanya ketika ditemui pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Limbang Ke-29 di sini semalam.

Mesyuarat itu dirasmikan Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail.

Hadir sama Bendahari Kehormat PERKIM Sarawak Dayang Noraini Abang Zawawi, Pegawai PERKIM Negeri Sarawak Nor Aishah Abdul Rashid dan Bendahari Lembaga Amanah Kebajikan Islam ( LAKIL) Limbang Mahmud Amit.

Dayang Maimunah berkata, satu jawatankua­sa dianggotai Jabatan Agama Islam (JAIS) Limbang, HIKMAH, Baitulmal dan Urusetia Saudara Kita ditubuhkan bersama PERKIM Limbang untuk mengesan golongan tersebut terutama di luar bandar.

“Kita mempunyai kerjasama padu bersama agensi kerajaan dan persatuan terbabit dalam mengesan golongan mualaf di Limbang,” jelasnya.

Katanya, pada masa ini PERKIM Limbang mempunyai keahlian sekitar 40 mualaf termasuk 30 keahlian mualaf dari luar bandar daripada 271 ahli PERKIM Limbang berdaftar.

“Sasaran kita adalah untuk mendaftar sekurang-kurangnya 15 mualaf setiap tahun,” jelas beliau.

Beliau berkata, PERKIM Limbang berusaha menarik keahlian golongan muda untuk meneruskan perjuangan mereka.

Selain itu, pihaknya berhubung dengan PERKIM ibu pejabat membantu mualaf yang tiada kerakyatan berkahwin dengan penduduk tempatan di sini.

“Selain luar bandar, PERKIM Limbang juga meneruskan usaha mendaftar golongan mualaf di kawasan bandar,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Abdul Rahman mengumumka­n geran kerajaan berjumlah RM30,000 kepada PERKIM Limbang untuk menjalanka­n aktiviti sepanjang tahun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia