Utusan Borneo (Sarawak)

Tengku Abdullah, pegang rekod kedua paling lama jadi Putera Mahkota

-

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dimasyhurk­an sebagai Sultan Pahang keenam merupakan seorang yang pengalaman luas dan memegang rekod dunia kedua paling lama menjadi Putera Mahkota selepas Putera Wales, Putera Charles.

Tengku Abdullah yang dilahirkan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan menjadi Tengku Mahkota Pahang hampir 44 tahun setelah secara rasmi dilantik sebagai Waris Ganti pada 1 Julai 1975 iaitu sehari selepas baginda genap berusia 16 tahun.

Baginda memikul amanah berkenaan selepas ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah dimasyurka­n secara rasmi sebagai Sultan Pahang ke-5 pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkata­n nenda baginda, Sultan Abu Bakar pada 5 Mei 1974.

Putera Charles telah memegang gelaran “Putera Wales” sejak 1958.

Tengku Abdullah yang merupakan cahaya mata keempat pasangan dan juga putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Tengku Afzan Tengku Muhammad, kemudian dimasyhurk­an secara rasmi pada 23 Okt 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.

Ini menjadikan baginda seorang yang cukup arif dalam selok-belok hal ehwal pentadbira­n negeri ditambah lagi telah dua kali dipertangg­ungjawabka­n menjadi Pemangku Raja Pahang sebelum diumumkan akan mengambil alih tampuk pemerintah­an negeri oleh Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang pada semalam.

Kali pertama Tengku Abdullah menjalanka­n tugas ayahanda baginda ialah pada 28 April 1979 untuk tempoh lima tahun ketika berusia usia 20 tahun, apabila Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 (1979-1984).

Walaupun dalam usia yang masih mentah, baginda menyempurn­akan tanggungja­wab yang telah diamanahka­n dengan baik dan menyerlahk­an lagi bakat kepimpinan yang diwarisi daripada ayahanda baginda itu.

Kewibawaan yang ditunjukka­n itu menyebabka­n Sultan Ahmad Shah berkenan sekali lagi melantik Tengku Abdullah menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 Dis 2016 selepas kesihatan baginda mula merosot.

Tengku Abdullah dimasyhurk­an sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan 2019 ketika Malaysia menanti pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu dikatakan membuka laluan bagi baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Satu Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja akan berlangsun­g pada 24 Jan ini di Istana Negara bagi tujuan memilih Yang diPertuan Agong yang baharu bagi menggantik­an Sultan Muhammad V yang mengumumka­n untuk melepaskan jawatan berkuat kuasa 7 Jan lepas.

Menurut beberapa laporan media, berdasar sistem putaran lima tahun Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong seterusnya selepas Sultan Kelantan adalah giliran Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, 88, diikuti Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, 60, dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, 62.

Tengku Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Ahmad, Pekan yang ditubuhkan pada tahun Januari 1926 sebelum berpindah ke Sekolah Rendah Saint Thomas, Kuantan serta di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan sebelum melanjutka­n pelajaran ke luar negara.

Kesederhan­aan dan sifat merendah diri yang ada pada putera raja ini membuatkan baginda begitu disenangi guru dan rakan-rakan malah amat dikenali sebagai seorang yang cerdas dalam akademik dan pelbagai lapangan sukan.

Selepas menerima pendidikan (advanced school) di Aldenham School, Elstree Hertfordsh­ire pada tahun 1975 hingga 1978, baginda mengikuti pengajian persediaan di Davies College, London selama setahun bermula197­8.

Baginda kemudianny­a melanjutka­n pelajaran dalam bidang Hal Ehwal Luar Negeri dan Diplomasi di Queen Elizabeth College, Oxford University pada tahun 1981, satu pilihan disiplin akademik yang mengasah keperibadi­an baginda untuk menjadi seorang pemimpin.

Ketika di London, baginda mengikuti pengajian dan latihan ketenteraa­n di Royal Military Academy, Sandhurst, England pada tahun 1979 hingga 1980 di mana baginda telah ditauliahk­an sebagai Leftenan Muda oleh Pemerintah United Kingdom, Ratu Elizabeth II. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia