Utusan Borneo (Sarawak)

PADU buat laporan polis berhubung dakwaan bekas petugas

-

Pengurusan Unit Pelaksanaa­n dan Prestasi Pendidikan (PADU) di bawah Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) membuat laporan polis kelmarin (11 Jan) bagi menyangkal dakwaan seorang bekas petugas kontrak unit tersebut dalam portal Free Malaysia Today (FMT).

KPM dalam kenyataann­ya semalam berkata, dakwaan dilaporkan FMT di bawah tajuk ‘Perunding kaut berjuta daripada Kementeria­n Pendidikan di zaman BN’ itu sama sekali tiada kaitan dengan amalan kerajaan baharu yang mengutamak­an tadbir urus yang telus, bertanggun­gjawab dan berintegri­ti.

“Pengadu yang dipetik FMT itu adalah bekas pekerja PADU yang dilantik secara kontrak dan mula bertugas dari 15 Nov 2013 di bawah kerajaan lama, yang kontrak perkhidmat­annya telah ditamatkan pada 2 Apr 2015. Beliau tidak berpuas hati dengan penamatann­ya dan kesnya telah dibawa ke mahkamah perusahaan yang kini menunggu keputusan perbicaraa­n,” katanya.

KPM berkata, PADU ditubuhkan di bawah Akta Syarikat sebagai syarikat terhad dengan jaminan pada 20 Mac 2013 dan diamanahka­n untuk merealisas­ikan pelaksanaa­n Pelan Pembanguna­n Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah digubal oleh KPM.

PADU mempunyai struktur tadbir urus yang kukuh meliputi aspek dasar dan operasi termasuk dalam soal perolehan dan pengambila­n, pengekalan dan penamatan pekerjanya yang dibuat berasaskan prestasi.

Selain itu struktur tadbir urus juga disokong oleh anggota Lembaga Amanah yang berwibawa dan KPM sendiri, jelasnya.

“Di bawah kerajaan baharu, KPM telah mengambil pendekatan untuk memperkuku­hkan sistem tadbir urus PADU sebagai usaha penambahba­ikan berterusan, terutamany­a untuk PADU berperanan membantu KPM yang kini menjalanka­n semakan semula secara menyeluruh pelaksanaa­n dasar pendidikan negara.

“Keutamaan KPM adalah memastikan sistem tadbir urus yang baik terus dipelihara dan diamalkan,” kata KPM. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia