Utusan Borneo (Sarawak)

GULA APONG KE EROPAH

Perbincang­an diadakan dengan ahli perniagaan, wakil kerajaan di Turki untuk eksport gula apong Sarawak

- Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Produk gula apong Sarawak akan memasuki pasaran Eropah melalui Turki.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutua­n (FAMA) Ishak Ismail berkata, perbincang­an sudah diadakan dengan beberapa ahli perniagaan dan wakil kerajaaan di negara itu untuk mengekspor­t gula apong keluaran Sarawak.

“Hasil daripada perbincang­an, mereka sangat berminat untuk bekerjasam­a membawa produk gula apong ini yang dihasilkan daripada nira nipah ke Eropah melalui pintu masuk Turki,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Promosi Gula Apong Sebagai Signature Produk Negeri Sarawak dan Program Jom Buah di Medan Niaga Satok di sini, semalam.

Bagi mengukuhka­n lagi potensi gula apong untuk memasuki pasaran yang lebih luas, kata Ishak, pihaknya kini sedang berusaha mendapatka­n pensijilan antarabang­sa termasuk Pensijilan Amalan Pertanian Baik (MyGAP).

“Pensijilan itu penting sebelum kita dapat mengeskpor­t produk dan kini kita sudah menetapkan gula apong untuk diangkat sebagai Produk Juara atau Signature Product bersama 14 lagi produk lain dari seluruh Malaysia yang akan kita lancarkan pada pertengaha­n tahun ini di peringkat kebangsaan,” katanya.

Selain pasaran Eropah, beliau berkata, pihaknya juga akan memasarkan gula apong Sarawak ke Semenanjun­g Malaysia, Timur Tengah dan beberapa negara Asia.

“Justeru, untuk menjamin kuantiti produk itu agar mampu memenuhi keperluan eksport, pengusaha harus memastikan bekalan sumber yang berterusan selain menggalakk­an anak-anak muda atau mereka yang berminat untuk terlibat dalam perniagaan produk asas tani ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa gembira apabila mendapat maklum bahawa Kerajaan Sarawak juga mempunyai hasrat yang sama untuk memperluas kawasan tanaman nipah di negeri ini terutama di Kampung Tambak, Pusa dalam bahagian Betong.

“Usaha itu dibuat bagi menampung sumber air nira yang diperoleh daripada nipah liar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor berkata, selain kawasan nipah sedia ada seluas kira-kira 50 hektar di Kampung Tambak itu, satu kawasan Taman Nipah turut akan diwujudkan di kampung terbabit.

“Dengan pembukaan Taman Nipah seluas 10 hektar pada tahun ini dengan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM2 juta, ia bukan sahaja menambahka­n lagi pengeluara­n sumber nira untuk penghasila­n gula apong tetapi berpotensi menjadi produk agropelanc­ongan yang menarik di Pusa,” katanya.

Terdahulu, seramai 128 usahawan yang mengusahak­an produk gula apong di Kampung Tambak, Pusa menyertai program Promosi Gula Apong sebagai Produk Signature Negeri Sarawak semalam.

Hadir sama, Pengarah FAMA Negeri Sarawak Shahid Abu Bakar dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin.

 ??  ?? BERPOTENSI: Ishak menggaul gula apong sebagai simbolik pelancaran promosi produk berkenaan di Medan Niaga Satok di Kuching, semalam. Turut kelihatan, Shahid, Willie dan Razaili.
BERPOTENSI: Ishak menggaul gula apong sebagai simbolik pelancaran promosi produk berkenaan di Medan Niaga Satok di Kuching, semalam. Turut kelihatan, Shahid, Willie dan Razaili.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia