Bomba bantu tanggalkan cincin dari jari kanak-kanak

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

Khidmat bomba terpaksa digunakan untuk menanggalkan cincin dari jari seorang kanakkanak di Kampung Bako Indah, di sini kelmarin (Sabtu).

Menurut kenyataan daripada Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya telah dihubungi sekitar jam 8.42 malam untuk membantu Muhd Aim Abdullah, apabila cincin yang dipakainya itu tidak dapat ditanggalkan.

Malah usaha budak lelaki berumur sembilan tahun itu untuk menanggalkan cincin keluli tersebut turut gagal, sehingga menyebabkan jarinya menjadi bengkak dan berdarah.

Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya yang tiba kemudian menggunakan peralatan khas untuk memotong cincin keluli tersebut sehingga berjaya.

Usaha menanggalkan cincin dari jari kanak-kanak tersebut selesai pada kirakira jam 9.50 malam.

TERSEKAT: Anggota bomba membantu menanggalkan cincin keluli yang terlekat pada jari Muhd Aim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.