Laksa, mi kolok, kek lapis, keunikan Kuching menjadi sebutan hos ATA-23

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

Laksa Sarawak, mi kolok, kek lapis dan keunikan bandar raya Kuching menjadi sebutan pada malam Anugerah Televisyen Asia Ke- 23 ( ATA- 23) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam kelmarin.

Keenakan makanan yang popular di Sarawak itu sering menjadi bahan bualan lima hos ATA-23 yang dibarisi penyanyi dan pengacara terkenal Wallace Ang, bekas VJ MTV Asia May Wan dan Choy Wan, Adrian Jalaludin dan Mark Zambrano.

Malah, kata pujian tentang keunikan Sarawak khasnya bandar raya Kuching turut disebut-sebut mereka pada awal acara ATA-23 mula disiar secara langsung.

“Saya amat teruja melihat keunikan bandar raya ini (Kuching), ia bandar yang tenang dan paling menarik adalah laksa Sarawak, mi kolok dan kek lapis Sarawak sangat sedap,” kata Wallace.

Manakala May Wan turut memberitahu bahawa beliau sempat membeli kek lapis Sarawak untuk dibawa pulang ke negaranya.

“Saya sudah beli kek lapis Sarawak dan disimpan di hotel untuk dibawa pulang esok,” katanya.

Selain barisan hos, pemenang anugerah ATA-23 turut menyuarakan pandangan yang sama dan amat tertarik dengan keunikan bandar raya ini.

Pada ATA-23, penampilan kumpulan penyanyi popular dari Korea Selatan, SF9 menghangatkan suasana malam anugerah itu.

Selain SF9, antara artis popular di Asia, Qu Wanting, Via Vallen, Alvin Chong, Gary Valenciano, Kiana Valenciano dan Winnie K turut tampi membuat persembahan pada ATA-23.

Malam anugerah itu diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama isteri Datin Patingg Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Zuraini Abdul Jabbar dan tetamu kehormat lain.

BARISAN HOS: Wallace (kiri) ditemani May Wan, Mark Zambrano, Choy Wan dan Adrian menghoskan Anugerah Televisyen Asia Ke-23.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.