GPS berbeza dengan BN daripada semua sudut: Minos

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berbeza dengan Barisan Nasional (BN) daripada semua sudut terutama perjuangannya.

Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos berkata amat jelas bahawa GPS ditubuhkan oleh parti-parti politik Sarawak dan dipimpin sepenuhnya oleh orang Sarawak.

Tidak seperti BN katanya, yang dipimpin oleh pemimpin dari Kuala Lumpur dengan Sarawak hanya sebahagian kecil daripadanya.

“Itu adalah perbezaan asas antara GPS dan BN dan Pakatan Harapan (PH) sekarang yang merupakan kerajaan persekutuan.

“GPS dari hari pertama, sebagai parti tulen berpangkalan di Sarawak dan hanya dipimpin oleh orang Sarawak.

“GPS dari mula, tidak mahu jadi seperti sebelum ini dikawal dan didominasi oleh Kuala Lumpur serta mereka dari Semenanjung Malaysia,” katanya.

Tambah Minos, GPS mahu kebebasan untuk bersuara dan membuat keputusan untuk kebaikan dan kepentingan Sarawak.

GPS meletakkan hak dan kepentingan Sarawak sebagai panduan pada agenda utamanya.

“Ya, GPS melihat kepada asas, ia akan teruskan perjuangan bagi kuasa Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 ( MA63) untuk dipulihkan sepenuhnya dan dikembalikan daripada kerajaan persekutuan PH.

“GPS juga akan pastikan Petronas dan kerajaan persekutuan akan memberi tambahan dana kepada Sarawak bagi pembangunan hasil minyak dan gas Sarawak sendiri,” tambahnya.

Minos turut yakin di bawah GPS ekonomi, kemajuan serta pembangunan sosial dalam semua aspek dipercepatkan supaya setanding dengan Semenanjung Malaysia.

Pada masa yang sama pimpinan GPS mengekalkan perpaduan dan keharmonian Sarawak serta hormat menghormati antara satu sama lain.

“Pendek kata, GPS akan melakukan inisiatif untuk pembangunan dan kemajuan ekonomi Sarawak.

“GPS juga akan mempertahankan harapan dan aspirasi rakyat Sarawak secara keseluruhannya,” kata Minos.

MINOS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.