Utusan Borneo (Sarawak)

Lima warga Myanmar ditahan bantu siasatan kes bunuh

-

Empat lelaki dan seorang wanita Myanmar ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian ejen pembekal pekerja asing yang ditemui mati dengan 14 kesan tikaman di beberapa bahagian badan, di flat Taman Pulasan, Bukit Minyak di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lima warga asing berusia 27 hingga 40 tahun yang bekerja di beberapa kilang di Bukit Minyak itu ditahan kira-kira jam 8 malam kelmarin di tempat kerja mereka.

“Lima individu itu tinggal serumah dengan mangsa berkenaan dan polis menahan mereka bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Mereka yang ditahan itu kini di reman selama 14 hari bagi membantu siasatan dan ada di antara warga asing tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan diri serta permit kerja,” katanya di sini semalam.

Mangsa R.Manogaran, 55, ditemui dalam bilik di rumah itu oleh seorang pemandu van kilang yang mencarinya kira-kira jam 2 petang.

Menurut pemandu van itu, mangsa merupakan ejen pembekal pekerja asing warga Myanmar kepada beberapa kilang di kawasan Bukit Tengah, tidak berkahwin serta tinggal bersama dengan 10 pekerja Myanmar di rumah tingkat bawah flat tersebut.

Manogaran ditemui dalam keadaan terlentang dengan lengkap berpakaian serta terdapat sebilah pisau sepanjang 33 sentimeter tercacak di bahagian tengah perutnya dan pemeriksaa­n lanjut mendapati terdapat 13 kesan tikaman di bahagian hadapan serta rusuk dan satu tikaman di bahagian belakang badan.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata polis juga sedang mengesan lima lagi pekerja asing warga Myanmar yang turut tinggal menyewa di rumah itu dan pihaknya percaya mereka telah melarikan diri sebaik kejadian bunuh tersebut.

Katanya lima lelaki berusia 25 hingga 42 tahun itu dipercayai masih berada di sekitar Pulau Pinang dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

“Polis percaya lima lelaki itu terlibat dalam kejadian bunuh berkenaan kerana berdasarka­n maklumat awal semasa insiden tersebut mereka berada di rumah sewa berkenaan,” katanya.

Beliau berkata motif sebenar kejadian masih dalam siasatan namun polis percaya ia mempunyai kaitan dengan bayaran gaji serta kebajikan pekerja asing seperti yang dijanjikan mangsa tidak ditunaikan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia