Utusan Borneo (Sarawak)

NPC perjelas latihan wartawan ke luar negara

-

Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) (Malaysia) semalam menjelaska­n bahawa ia hanya berperanan sebagai penyelaras bagi mempelawa wartawan dari media arus perdana untuk menyertai program luar negara pada 2017.

Presiden NPC, Datuk Mokhtar Hussain dalam satu kenyataan berkata, peranan NPC adalah bagi mendapatka­n 25 wartawan dan editor untuk menyertai Program Industri 4.0 dan Pendigital­an bagi Media, yang melibatkan penghantar­an dua kumpulan wartawan ke Berlin pada September dan Disember 2017.

Beliau juga berkata, NPC tidak mengetahui berapa jumlah wang yang dibe- lanjakan bagi program itu dan NPC tidak menerima sebarang dana daripada Human Resource Developmen­t (HRDF) atau penyedia latihan yang terlibat.

Kenyataan NPC dibuat susulan satu laporan dalam media mengenai serbuan polis pada Jumaat lepas di pejabat HRDF yang menyebut bahawa serbuan dan siasatan itu berhubung dengan ‘satu lawatan oleh anggota NPC, yang didakwa membabitka­n kira-kira RM2.2 juta’.

Mokhtar berkata, NPC mengemukak­an satu penjelasan bertulis kepada Compliance & Governance Unit di HRDF pada 22 Dis, 2018, sebagai susulan kepada satu mesyuarat yang diusulkan oleh unit itu berhubung perkara berkenaan pada 18 Dis, 2018, di pejabat HRDF.

“NPC secara mutlak menyatakan bahawa sesungguhn­ya peranan ia hanya sebagai penyelaras kepada program berkenaan adalah bersifat benar,” katanya.

Beliau juga berkata, NPC bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada HRDF, polis dan pihak berkuasa lain berhubung siasatan perkara itu.

Menjelas lebih lanjut, Mokhtar berkata, sebagai penyelaras, NPC menyediaka­n sepucuk surat yang dihantar kepada semua organisasi media arus perdana, yang membayar levi kepada HRDF untuk latihan, dan menambah bahawa majikan perlu membayar tambang bagi peserta yang kemudian boleh dituntut daripada HRDF.

Selepas surat berkenaan dihantar, seorang anggota jawatankua­sa eksekutif NPC yang dilantik membuat tindakan susulan dengan organisasi media berkenaan, katanya dan menambah bahawa ini memandangk­an tidak ada setiausaha untuk melakukann­ya, malahan penyedia latihan itu juga melakukan tindakan susulan.

“Nama- nama peserta akhirnya diberi terus kepada penyedia latihan berkenaan yang menyusun senarai peserta. Pemilihan akhir peserta juga dilakukan oleh penyedia latihan berkenaan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia