Kedah mahu tingkatkan pekebun kecil getah usahakan cendawan Volvariella

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

Kerajaan negeri Kedah berhasrat memperluaskan penglibatan pekebun kecil getah di negeri ini yang mengusahakan tanaman cendawan Volvariella sebagai tanaman alternatif di kebun mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata langkah itu bagi membantu penoreh dan pekebun kecil menjana pendapatan sampingan selain daripada hasil getah.

Katanya, kerajaan negeri akan berbincang dengan dengan Jabatan Pertanian di setiap daerah dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) tentang bantuan sesuai yang boleh disalurkan kepada pekebun kecil untuk memulakan tanaman itu.

“Untuk permulaan kerajaan negeri menyasarkan seramai 450 orang atau 10 peratus daripada 45,000 pekebun kecil di negeri ini dapat dilibatkan untuk mengusahakan tanaman cendawan itu kerana setakat ini kita hanya ada 12 orang.

Tanaman ini telah terbukti mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan sebab itu kita nak ia diperluaskan kerana ia mudah ditanam menggunakan konsep ‘3T’ iaitu tabur, tunggu dan tuai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak tanaman cendawan Volvariella di Kampung Musa, Mukim Pedu di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

“Cendawan ini tidak rumit dan boleh ditanam di kebun getah yang mempunyai suhu lembap yang akan memberi pendapatan sampingan kepada penoreh, mereka juga tidak perlu risau lagi dengan harga getah yang tidak menentu,” kata Azman.

Sementara itu, pekebun kecil yang mengusahakan tanaman cendawan Volvariella itu, Ismail Ibrahim, 63 berkata selepas mengusahakan tanaman itu beliau kini tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada pendapatan sebagai penoreh yang banyak terkesan dengan ketidaktentuan harga getah.

Katanya, tanaman cendawan itu yang diusahakan sejak dua tahun lepas di kebun getahnya kini mampu memberikan pendapatan tambahan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

“Saya harap apa yang saya lakukan ini akan menjad pembakar semangat atau inspirasi kepada penoreh getah lain agar mencari peluang pendapatan lain dan tidak tertumpu kepada hasil getah yang tidak menentu,” katanya yang meraih sekitar 20 hingga 30 kilogram cendawan sehar yang dijual secara runcit pada harga RM15 sekilogram — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.