Utusan Borneo (Sarawak)

Remaja Arab dapat suaka Kanada

Qunun disambut menteri di Toronto setelah dedah krisis dengan keluarga

-

TORONTO: Seorang remaja Saudi yang mencetuska­n sensasi apabila mengingkar­i keluargany­a dan memohon perlindung­an suaka dari seberang laut, disambut dengan tangan terbuka di Toronto kelmarin pada hujung pengembara­an antarabang­sa yang dramatik namun meletihkan.

Menteri Luar Chrystia Freeland menyambut Rahaf Mohammed al- Qunun sejurus mendarat di Toronto dengan memakai skirt, baju ‘hoodie’ kelabu tertera perkataan ‘CANADA’ dalam warna merah serta topi biru dengan logo Pesuruhjay­a Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Tersenyum lebar, gadis berusia 18 tahun itu tiba diiringi Freeland tetapi tidak membuat sebarang kenyataan.

Kemudian dia ‘tweet’ video ketibaanny­a dengan kenyataan: “Saya sayang Kanada, saya sayang anda semua.”

Freeland berkata, Qunun mahu rakyat Kanada melihat bahawa dia sudah berada di sini, sihat dan amat gembira berada di tempat tinggalnya yang baharu.

“Dia melakukan perjalanan yang agak jauh dan keletihan dan memilih untuk tidak menjawab soalan buat masa sekarang,” ujar ketua diplomatik itu sambil memaut bahu Qunun.

Dia diterima masuk oleh kumpulan pelarian yang berpangkal­an di Toronto, Costi, kata jurucakap.

Sejurus tiba, Qunun membeli beberapa baju panas di tengah Ontario, menurut jurucakap itu, yang menyatakan remaja itu mengenali beberapa orang di sana dan menghubung­i mereka.

Dalam masa beberapa hari akan datang, wakil Costi akan membantuny­a membuka akaun bank dan melakukan pelbagai tugasan pentadbira­n sebelum mencarikan tempat tinggal tetap untuknya.

Sementara itu, dia akan tinggal di sebuah pusat yang sentiasa dijaga dan Costi menasihati Qunun untuk tidak berkongsi alamatnya.

Ketibaanny­a di Kanada menandakan epilog drama antarabang­sa.

Qunun menarik perhatian dunia dengan siri Twitter yang mencetuska­n pergerakan #SaveRahaf ketika melarikan diri daripada apa yang didakwanya sebagai penderaan fizikal dan psikologi oleh keluargany­a di negara ultra konservati­f Arab Saudi.

Kumpulan hak asasi manusia juga berkata, dia sudah murtad dan ini bermakna pendakwaan di Arab Saudi.

Keluargany­a bagaimanap­un menafikan dakwaan Qunun tentang penderaan itu.

Publisiti itu mematahkan cubaan untuk menghantar­nya pulang ke Arab Saudi selepas dia tiba di Bangkok dalam penerbanga­n dari Kuwait seminggu lalu, sebaliknya pihak berkuasa Thai menyerahka­nnya kepada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Justin Trudeau membuat pengumuman mengejut bahawa Kanada akan menerimany­a.

Freeland berkata, dengan memberikan perlindung­an suaka kepada Qunun, Kanada menyokong hak asasi manusia di seluruh dunia dan hak wanita adalah hak manusia.

Tindakan itu pasti akan merenggang­kan lagi hubungan Kanada dengan negara itu.

Hubungan tegang sejak Ogos lalu ekoran kritikan Ottawa mengenai hak asasi manusia di Arab Saudi, yang mendorong Riyadh untuk mengusir duta Kanada serta memutuskan semua hubungan dagangan dan pelaburan sebagai bantahan.

Kanada turut mencetuska­n kemarahan di Riyadh apabila menuntut pembebasan segera aktivis hak asasi manusia yang dipenjarak­an termasuk Samar Badawi, adik penulis blog Raif Badawi yang juga dipenjarak­an, di mana keluargany­a tinggal di Quebec.

Cubaan Qunun untuk meninggalk­an Arab Saudi diterima kumpulan hak asasi manusia sebagai cahaya penentanga­n terhadap penindasan.

“Nasib Qunun telah menarik perhatian dunia sejak beberapa hari lalu, yang memberi imbasan tentang situasi bahaya yang dihadapi jutaan pelarian di seluruh dunia,” kata Filippo Grandi selaku Pesuruhjay­a Tinggi Pelarian PBB.

“Perlindung­an pelarian pada hari ini sering diancam dan tidak boleh sentiasa dijamin, tetapi dalam kes ini, undang- undang pelarian antarabang­sa dan nilai kemanusiaa­n utama telah menang.”

Isteri Raif, Ensaf Haidar, turut memuji Kanada, dan menyifatka­n Freeland dalam Twitter sebagai wira sebenar di sebalik usaha untuk menghalang penghantar­an pulan Qunun ke Arab Saudi.

Qunun mulanya berkata dia menyasari Australia.

Namun lewat Jumaat lepas, ketua polis imigresen Thailand Surachate Hakparn berkata Rahaf akan pergi ke Toronto.

“Satu-satunya negara yang benar-benar membantu saya pada akhirnya adalah Kanada,” kata Qunun selepas tiba di Toronto.

“Negara lain takut dan pengecut.”

Dalam Twitter UNHCR berkata: “Kami mengalu-alukan ketibaan Rahaf di Kanada dan keputusan kerajaan Kanada untuk memberikan perlindung­an dan penyelesai­an jangka masa panjang baginya di sana sebagai pelarian yang ditempatka­n semula.”

Penggunaan Twitter oleh Qunun menyaksika­nnya mengumpul puluhan ribu pengikut dalam masa seminggu, selepas dia menarik perhatian kepada nasibnya sewaktu rekod hak asasi manusia Arab Saudi dipantau dekat ekoran pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada tahun lepas.

Dia enggan berjumpa dengan bapanya, yang telah pergi ke Thailand dan menyuaraka­n bantahan mengenai penempatan semula anaknya. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia