Kes dadah warga asing dibicara lanjut 8 Februari

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

Mahkamah Majistret menetapkan 8 Februari depan untuk sebutan lanjut kes seorang buruh warga asing yang dituduh menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Manakala tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan RM3,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad turut memerintahkan agar pasport tertuduh diserahkan kepada pegawai penyiasat sehingga kes selesai.

Kadir Sahali dari Indonesia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh seorang pegawai yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.30 pagi, 6 Januari lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.