Abang Johari menerima kejutan daripada penduduk Miri

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kejutan daripada penduduk Miri semalam yang meraikan sambutan ulang tahun kedua beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam dengan kek berwarna kuning keemasan.

Sambutan itu dibuat selepas beliau merasmikan pelancaran ‘booklet’ Demi Rakyat Sarawak-Inisiatif Team Abang Jo menyaksikan sebanyak 64 inisiatif diperkenal untuk kesejahteraan rakyat sepanjang 24 bulan beliau menerajui Sarawak selepas mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada 13 Januari 2017.

Inisiatif awal beliau setelah dilantik sebagai Ketua Menteri ialah memperkenalkan pelaksanaan ekonomi digital bagi melonjak ekonomi Sarawak dan memastikan Sarawak terus berdaya saing dan menjadi negeri maju menjelang 2030.

Kepimpinan beliau turut menyaksikan beberapa inisiatif terdahulu oleh bekas Ketua Menteri Tok Nan diteruskan dan paling penting adalah menjamin hak Sarawak terus dilindungi dan menuntut hakhak yang terhakis selama ini.

Melalui 64 inisiatif diperkenalkan itu, Abang Johari dan pasukannya (Team Abang Jo) terus memastikan Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil berat terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat Sarawak.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan cek berjumlah RM3 juta untuk Majlis Daerah Subis bagi membantu melonjakkan pembangunan kawasan pinggir bandar itu.

Beliau turut menyampaikan cek berjumlah RM2 juta kepada Presiden, Ketua Eksekutif dan Pro Naib Cancelor Curtin University Kampus Malaysia Profesor Jim Mienczakowski bagi universiti tersebut sebagai membuktikan komitmen dan sokongan Kerajaan Sarawak memberi penekanan terhadap pendidikan berkualiti di negeri ini.

Sempena lawatan ke kampus di Senadin di sini Jun tahun lalu, Abang Johari memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak menyokong Curtin University Kampus Malaysia itu dalam memperbesar kemudahan khususnya bidang teknologi maklumat ( IT) bagi memenuhi keperluan negeri ini sejajar dengan usaha membangunkan ekonomi digital dan sumber-sumber asli menerusi teknologi moden.

RAIKAN: Pemimpin peringkat negeri, ketua-ketua masyarakat dan jabatan kerajaan serta tetamu bersama meraikan ulang tahun kedua Abang Johari sebagai Ketua Menteri di Miri semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.