Warga Long Liam kini nikmati bekalan elektrik 24 jam

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

Penduduk Long Liam di pedalaman Baram mula menikmati bekalan elektrik selama 24 jam menerusi sistem Micro Hidro Power (MHP) yang menelan belanja RM300,000.

Projek itu adalah hasil gotong- royong penduduk kampung yang dibangunkan Civil Society Organsations (CSO), Save Rivers, Tonibung, Bruno Manser Fund serta Green Empowerment and Seacology.

Pengurus Projek Tonibung Dominic M. Usek berkata, projek MHP tersebut yang dibina bermula Januari tahun lepas secara bergotong- royong siap dalam tempoh setahun.

“Projek ini telah siap sepenuhnya pada 12 Januari lalu dan mampu membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk Long Liam selama 24 jam,” katanya di sini.

Dominic memberitahu, pihaknya akan terus memberi latihan dan berkongsi kepakaran kepada penduduk kampung itu bagi penyelenggaraan jana kuasanya.

“Selepas ini kami akan memantau projek ini dari semasa ke semasa dengan semangat gotong- royong penduduk kampung untuk kerja penyelenggaraannya.

“Saya percaya langkah ini menjadikan sistem MHP lebih terjaga dan dapat kekal lebih lama memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk rumah panjang,” katanya.

Sebagai wakil penduduk kampung, Boyce Anyie melahirkan kesyukuran atas inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memilih Long Liam sebagai tapak pelaksanaan loji hidro mikro.

“Kehidupan harian kami menjadi semakin mudah dengan adanya bekalan elektrik 24 jam, bahkan ia adalah sistem jana kuasa tenaga yang mesra alam,” katanya.

Anyie yang juga ketua jawatankuasa MHP Long Liam memberitahu, projek itu memberi manfaat kepada kira- kira 42 pintu rumah panjang.

Sementara itu, Pengerusi Save Rivers Peter Kallang berkata, pihaknya akan mengadakan persidangan Clean Energy Collaboration pada 15 dan 16 Mac depan di Kuching.

Persidangan yang akan berlangsung di Hotel Pullman itu menghimpunkan agensiagensi dari dalam dan luar negara yang terbabit dalam industri membabitkan sumber tenaga elektrik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.