Utusan Borneo (Sarawak)

Polis ikut prosedur tangani kes budak perempuan dijadikan tebusan

-

Polis bertindak mengikut prosedur dalam menangani kejadian seorang lelaki menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan dalam sebuah rumah di blok apartmen Telipok Ria, dekat sini, kelmarin.

Pesuruhjay­a Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata rundingan dengan lelaki itu dibuat antara anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Sabah dan Polis Daerah Tuaran.

Katanya polis juga mendapatka­n bantuan orang awam menjadi penterjema­h Bahasa Sulok untuk berkomunik­asi dengan lelaki itu.

“Proses rundingan gagal dan polis terpaksa melepaskan tembakan terhadap lelaki itu apabila dia bertindak hendak melontar kanak-kanak itu dari tingkap di unit rumah terletak di tingkat empat itu,” katanya pada sidang media di IPK Sabah Kepayan, semalam.

Dalam kejadian itu, lelaki yang sehingga hari ini tidak dikenal pasti identitiny­a mati ditembak di tempat kejadian.

Omar berkata senjata tajam yang digunakan oleh lelaki itu adalah jenis kerambit yang menyebabka­n beberapa kesan luka pada leher kanak- kanak perempuan tetapi tidak menyebabka­n kecederaan serius.

Dalam pada itu, beliau menafikan beberapa laporan tidak benar mengenai kejadian itu antaranya empat jari kanak-kanak perempuan itu dipotong dan lelaki itu mempunyai kaitan dengan ibu bapa kanakkanak itu.

Katanya siasatan polis mendapati lelaki itu memilih kanak-kanak perempuan menjadi tawanannya secara rambang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia