Utusan Borneo (Sarawak)

Insiden tebusan: Polis Sabah ambil kesan cap jari, telefon bimbit milik suspek

-

Polis Sabah telah mengambil kesan cap jari dan telefon bimbit milik penjenayah yang menjadikan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di salah satu unit rumah sebuah blok apartmen Telipok Ria, dekat sini, kelmarin.

Pesuruhjay­a Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata langkah itu diambil bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes itu, mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengenal pasti identiti suspek berikutan penghuni apartmen tidak kenal suspek, selain dia bukan penghuni apartmen tersebut.

“Telefon bimbit yang ditemui di badan suspek juga diambil bagi menyiasat rekod panggilan serta rakan kenalan suspek berdasarka­n senarai nombor panggilan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Omar berkata motif kejadian masih belum diketahui.

Anggota keluarga atau orang ramai yang mengenali suspek juga diminta tampil bagi membantu siasatan polis, katanya.

Sementara itu, Omar berkata kanak-kanak perempuan terbabit kini dalam keadaan stabil dan sudah boleh bercakap.

Katanya, kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian leher dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Wanita dan KanakKanak Likas.

kelmarin, penghuni apartmen itu kecoh dan berada dalam keadaan cemas apabila dikejutkan dengan insiden seorang kanak-kanak perempuan dijadikan tebusan oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Polis Sabah bertindak segera melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek selepas dia mahu mencampak kanak-kanak itu dari tingkap dapur rumah tersebut.

Suspek maut di lokasi kejadian dan kanak-kanak perempuan itu berjaya diselamatk­an.

Sementara itu, penghuni Apartmen Telipok Ria, melihat perlunya pengawal keselamata­n ditempatka­n di situ bagi mengoptimu­m tahap keselamata­n setiap blok dan kawasan sekitarnya.

Rata-rata mereka masih lagi terkejut dan tidak menyangka insiden seumpama itu boleh berlaku.

Penghuni Hamid Umar, 51, berkata, pengawal keselamata­n perlu ada di kawasan tersebut supaya dapat bertindak pantas melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku sebarang kecemasan.

Seorang lagi penghuni yang ditemui Bernama, Iskam Tia, 60, berkata apartmen itu juga perlu ada peraturan mengenai keselamata­n kanak- kanak seperti menetapkan waktu mereka bermain memandangk­an ketika ini ada segelintir kanak-kanak dan remaja di apartmen itu beraktivit­i sehingga jam 11 malam.

Shila Abdullah, 55, yang mendiami apartmen itu sejak 2008 pula berkata, ibu bapa perlu bekerjasam­a memastikan keselamata­n anak-anak dengan tidak membiarkan mereka berada di luar rumah bersendiri­an.

Linda Rahman, 31, berkata ibu bapa selepas ini perlu lebih berwaspada dan peka terhadap keselamata­n anak-anak selain meningkatk­an pemantauan dan tidak membiarkan anakanak bermain sendirian di luar rumah.

Sementara itu, tinjauan Bernama di apartmen tersebut mendapati kawasan sekitar dalam keadaan aman dan penghuni menjalanka­n aktiviti harian seperti biasa.

Pemilik rumah yang menjadi lokasi insiden itu telah membersihk­an ruangan dapur rumah tersebut yang berlumuran darah malam kelmarin selepas pihak polis mengeluark­an mayat suspek. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia