Jangan ada istilah ‘sekolah menumpang’ di Sabah: Shafie

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

Kerajaan Sabah tidak mahu istilah ‘sekolah menumpang’ terus wujud di negeri ini dan perkara itu perlu diselesaikan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata Malaysia sudah mencapai kemerdekaan sejak lebih 50 tahun lepas, namun isu sekolah tumpang masih wujud di negara ini termasuk di Sabah.

“Kenapa ada lagi sekolah rendah tumpang sekolah menengah, dan sekolah menengah tumpang sekolah rendah...tiada peruntukan untuk buat sekolah? Malah, ada musim, sekolah terlibat juga digunakan untuk penempatan mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan Ketua Menteri Sabah bersama anggota perkhidmatan awam dan pemegang adat daerah Semporna di sini, semalam.

Mohd Shafie dalam pada itu, mahu Kementerian Pela- jaran dan Inovasi Sabah serta Kementerian Pendidikan di peringkat pusat agar mencari jalan agar tiada lagi isu sekolah menumpang di Sabah.

“Saya harap bukan hanya isu sekolah daif yang tidak cukup kelengkapan diselesaikan (tetapi juga isu sekolah menumpang),” katanya.

Sebelum itu, Mohd Shafie bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong menghadiri program ‘Back To School’ di Dewan Masyarakat Semporna.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah menyediakan biasiswa pendidikan berjumlah RM52 juta kepada pelajar berasal dari Sabah termasuk yang menerima tawaran memasuki universiti pada tahun ini.

Berkongsi perkara itu beliau berkata biasiswa tersebut pada mulanya sebanyak RM18 juta sebelum ditingkatkan sehingga RM52 juta termasuk RM10 juta daripada Yayasan Sabah. — Bernama

— Gambar Bernama

BANTUAN: Mohd Shafie (tengah) beramah mesra dengan sebahagian murid-murid selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada majlis Kembali Ke Sekolah di Dewan Masyarakat Semporna semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.