Permohonan Najib dan tiga lagi batal saman Deepak didengar pada 4 April

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga lagi untuk membatalkan saman difailkan Pengarah syarikat Carpet Raya Sdn Bhd, J.R. Deepak Jaikishan dalam tuntutan ganti rugi berjumlah RM676 juta berhubung dakwaan penipuan beberapa transaksi berpunca daripada konspirasi jual beli tanah, didengar 4 April.

Peguam Irzan Iswat Mohd Noor yang mewakili Deepak, berkata permohonan kesemua defendan untuk membatalkan saman ahli perniagaan itu akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar.

Irzan Iswat berkata bekas perdana menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor telah memfailkan permohonan itu pada 7 Januari lepas, manakala dua lagi defendan iaitu syarikat Boustead Holdings dan Bakti Wira Development memfailkan permohonan mereka pada 17 Disember lepas.

“Antara alasan kesemua defendan untuk membatalkan saman ini ialah tiada penglibatan mereka di dalam konspirasi seperti yang didakwa,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan pendaftar Farah Shuhada Ramli di sini semalam.

Pada 12 Oktober lepas, Deepak, 46, selaku plaintif menamakan bekas perdana menteri dan isteri, sebagai defendan pertama dan kedua manakala syarikat hartanah, Boustead Holdings Berhad defendan ketiga dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development Sdn Bhd selaku defendan keempat.

Deepak mendakwa, beliau sebagai pengarah dan pemilik saham terbesar Astacanggih Sdn Bhd menandatangani satu perjanjian dengan pengarah dan pemilik saham terbesar syarikat Awan Megah (M) Sdn Bhd, Raja Ropiaah Raja Abdullah berhubung tiga bidang tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang dan Mukim Bukit Raja, Jajahan Petaling.

Deepak mendakwa pembayaran deposit RM13 juta telah dibayar oleh Astacanggih kepada Awan Megah dan bon tanah daripada Kuwait Finance House ( M) Berhad dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia berjumlah RM72.5 juta oleh syarikatnya itu namun Awan Megah melalui Raja Ropiaah gagal dan enggan mengemukakan geran asal bagi tanah-tanah tersebut untuk didaftarkan pindah milik kepada Astacanggih.

Deepak mendakwa, akibat penipuan dan pengaruh tidak wajar defendan pertama dan kedua, Astacanggih terpaksa akur menjual 80 peratus (16 juta unit saham yang telah berbayar) daripada keseluruhan saham yang dimiliki olehnya dalam syarikat itu (Astacanggih) kepada Boustead Holdings melalui anak syarikatnya, defendan keempat.

Deepak berkata dari segi undang-undang tanah-tanah tersebut merupakan milik ekuiti plaintif menerusi Astacanggih semasa pihak plaintif merupakan pengarah, pemegang saham majoriti syarikat itu menandatangani perjanjian perolehan di antara syarikat plaintif dengan Awan Megah melalui Raja Ropiaah.

Sehubungan itu, Deepak menuntut daripada pihak defendan secara bersama atau berasingan ganti rugi am RM600 juta, ganti rugi teladan RM50 juta dan ganti rugi berpanjangan RM26 juta.

Najib dan Rosmah diwakili peguam David Mathews manakala kedua-dua syarikat Boustead Holdings dan Bakti Wira Development diwakili peguam Kenny Chan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.