Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga lelaki termasuk seorang remaja ditahan tanam janin bayi

-

Tiga lelaki termasuk seorang remaja ditahan polis kerana dipercayai cuba menyembuny­ikan kelahiran dengan menanam janin bayi yang dilahirkan teman wanita remaja berkenaan di kawasan sawah di Bukit Rambai di sini, kelmarin.

Ketua Polis Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata remaja berusia 19 tahun yang bekerja sebagai juruteknik itu ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka di sini kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Beliau berkata dua lagi lelaki yang berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan di sekitar negeri itu berdasarka­n nombor pendaftara­n salah sebuah motosikal dinaiki mereka yang direkodkan saksi.

“Berdasarka­n maklumat awal, ibu bayi berkenaan mengaku menyerahka­n janin tersebut kepada teman lelakinya itu untuk ditanam selepas melahirkan.

“Justeru, tiga lelaki berkenaan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini ( semalam) bagi membantu siasatan lanjut berhubung penemuan janin bayi tersebut yang belum diketahui jantinanya,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kelmarin, media melaporkan perbuatan mencurigak­an lelaki berkenaan di kawasan sawah di Bukit Rambai di sini kirakira jam 8 pagi kelmarin disedari penduduk kampung sebelum membuat laporan polis.

Afzanizar berkata ibu kepada janin bayi berkenaan yang berusia 20 tahun dan tidak bekerja itu masih berada di Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaa­n lanjut oleh pakar obstetrik dan ginekologi bagi mengesahka­n kelahiran bayi terlibat.

Beliau berkata mayat janin bayi itu menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Melaka kira-kira 9.30 pagi semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan kirakira jam 11 pagi kelmarin sebelum sepasukan anggota forensik bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui kesan tanah digali di batas sawah berkenaan.

“Hasil pemeriksaa­n lanjut, satu bungkusan kain putih yang mengandung­i mayat janin bayi tersebut ditemui pada kedalaman kira-kira satu meter daripada kesan tanah digali itu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia