Reman pegawai kanan PAIP dilanjut sehingga Khamis

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

Tempoh reman tujuh individu termasuk empat pegawai kanan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) berhubung siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan projek bernilai RM23 juta, disambung sehingga Khamis ini.

Majistret Syarifah Nor Syuhada Tuan Mamat mengeluarkan perintah reman itu di sini semalam, selepas mendengar permohonan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammed Fiqrun Md Talip.

Semua mereka yang berusia 30 hingga 60 tahun ditahan pada Khamis lalu dalam ‘Ops Cuci’, dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuantan pada jam 9.15 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM dan bergari.

Tiga lagi suspek ialah kontraktor yang dipercayai mem- onopoli projek yang ditawarkan perbadanan itu menerusi rundingan secara terus tanpa melalui proses sebut harga.

Pada prosiding berasingan, Syarifah Nor Syuhada mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula semalam, terhadap lima suspek termasuk seorang wanita yang ditahan SPRM kelmarin, bagi membantu siasatan kes sama.

Lima individu tersebut yang merupakan tiga pegawai PAIP dan dua kontraktor berusia 35 tahun hingga 51 tahun, ditahan di pejabat SPRM Pahang di sini bermula jam 3.50 petang hingga 10.40 malam, selepas hadir memberi keterangan.

Kesemua mereka disyaki bersekongkol dengan beberapa suspek yang ditahan pada Khamis lalu untuk memonopoli projek pembekalan air di negeri ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(b)(A) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 atas kesalahan meminta dan memberi rasuah.

Pada permohonan reman itu, barisan peguam yang mewakili suspek ialah Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, Zamri Idrus dan Datuk Davis Yee Fei Churn.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dikeluarkan sebelum ini menyatakan Pengurusan Air Pahang Berhad ( PAIP) kerugian tiga tahun berturut- turut iaitu RM114.55 juta sehingga tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2015, RM108.22 juta (31 Mac 2016) dan 103 juta (31 Mac 2017).

Hal itu terus berlaku disebabkan pengurusan bekalan air diuruskan dengan kurang cekap, pengurusan tadbir urus PAIP juga disifatkan kurang cekap dan kurang memuaskan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.