Utusan Borneo (Sarawak)

Kanak-kanak tiga tahun antara 87 PATI ditahan JIM Kelantan

-

Tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun adalah antara 87 pekerja asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia ( JIM) Kelantan dalam operasi Ops Mega 3.0 di Bachok semalam.

Ketua Bahagian Penguat kuasa JIM Kelantan Ruzaana Mohamed berkata mereka yang berusia tiga hingga 51 tahun terbabit ditahan di sebuah tapak pembinaan.

“Mereka merangkumi 70 lelaki warga Bangladesh, sembilan rakyat Indonesia iaitu tiga wanita, seorang kanak-kanak perempuan dan lima lelaki selain lapan lelaki Myanmar.

“Kanak-kanak perempuan itu dipercayai anak kepada seorang wanita yang bekerja sebagai tukang sapu di tapak pembinaan tersebut,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata mereka ditahan kerana melanggar pelbagai kesalahan menurut Akta Imigresen 1963 dan dibawa ke depoh tahanan sementara imigresen di Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Ruzaana berkata pihaknya juga telah mengemukak­an saman kepada dua wakil majikan dan dijangka ramai lagi majikan akan dikenakan tindakan sama kerana mengambil PATI bekerja dengan mereka.

“Kita serius dalam menangani PATI yang bekerja di tapak pembinaan dan tindakan ini diambil agar majikan bertanggun­gjawab atas setiap pekerja yang diambil,” katanya.

Dalam pada itu Ruzaana berkata seramai 136 orang PATI berjaya ditahan dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini menerusi 27 operasi yang dilakukan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia