Utusan Borneo (Sarawak)

Basikal: Fatehah, Jupha Somnet gagal sumbang sebarang pingat

-

Pelumba berbasikal trek negara, Jupha Somnet terlepas pingat gangsa acara scratch elit wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia kali ke-39, kelmarin.

Dalam aksi di Velodrom Antarabang­sa Jakarta, Indonesia, pelumba kelahiran Perlis itu berada di kedudukan keempat selepas perlumbaan sejauh 10km.

Pingat emas acara itu diraih oleh pelumba Taiwan, Huang Ting Ying manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Shen Shanrong dari China dan Pang Yao dari Hong Kong.

Untuk rekod, Jupha meraih pingat gangsa dalam acara scratch pada 2016 di Izu, Jepun.

Pada masa sama, pelumba elit negara, Fatehah Mustapa turut gagal meraih sebarang pingat apabila berakhir di tempat kelapan pada final acara keirin manakala Farina Shawati Mohd Adnan terkandas pada pusingan repechage acara sama.

Pingat emas acara keirin dirangkul pelumba Jepun, Yuka Kobayashi sementara perak menjadi milik Lee Wai Sze dari Hong Kong dan pelumba China Tianshi Zhong meraih gangsa.

Dalam pada itu, hasrat pelumba remaja negara Chee Wen Chun membawa pulang kilauan pingat turut tidak kesampaian selepas menamatkan acara omnium remaja lelaki di kedudukan keempat dengan mengutip 113 mata.

Pelumba Kazakhstan, Danill Pekhotin meraih emas dengan mengumpul 133 mata manakala Angga Dwi Wahyu Prahesta dari Indonesia memenangi perak (129 mata) diikuti pelumba Taiwan Chih Sheng Chang membawa pulang gangsa selepas mengutip 116 mata. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia