Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Johor akan bincang dengan kerajaan negeri tentang CCTV

-

Polis Johor akan mengadakan perbincang­an bersama kerajaan negeri berhubung hasratnya untuk mendigital­kan dan menaik taraf pengurusan keselamata­n polis menerusi lebih banyak pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata perbincang­an tersebut dijangka diadakan dalam masa terdekat sekali gus diyakini membantu polis menjalanka­n penguatkua­saan dengan cekap.

“Sokongan teknologi terutamany­a CCTV amat penting bagi memantau setiap pelusuk kawasan yang kita fokuskan lebih-lebih lagi pembanguna­n di negeri ini yang semakin pesat dan menjadi tumpuan pelancong serta pelabur,” katanya kepada pemberita selepas program Aspirasi Keselamata­n Untuk Kesejahter­aan Awam, di sini semalam.

Mohd Khalil berkata pemasangan CCTV dilihat perlu di- tumpukan di laluan pintu masuk ke negeri ini supaya setiap pintu masuk mampu dikawal lebih efektif walaupun ia dikawal baik setakat ini.

Mengulas aduan penjawat awam mengenai Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang yang dilihat semakin usang dan perlu ditambah baik, beliau berkata pihaknya berharap agar kerajaan dapat mempertimb­angkan langkah sewajarnya sama ada menambah baik atau membina bangunan baharu bagi menggantik­an bangunan berusia 43 tahun tersebut.

Sementara itu, mengenai penahan lima lelaki disyaki anggota sindiket mengedar dadah kepada banduan di Penjara Simpang Renggam sejak setahun lepas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Khalil berkata masih terlalu awal untuknya mengaitkan orang dalam sebagai dalang sindiket pengedaran dadah itu.

Beliau berkata pihaknya akan melakukan siasatan berkenaan pengedaran dadah di semua penjara di negeri ini sekiranya terdapat perkembang­an siasatan yang dijalankan di Penjara Simpang Renggam.

“Sebenarnya koordinasi kami dengan Jabatan Penjara telah lama wujud, dan dapat tangkap sebab kerjasama rapat. Kami tidak akan berhenti dan akan terus usaha (banteras sindiket dadah),” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengumumka­n Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menumpaska­n satu sindiket pengedaran dadah di penjara tersebut dengan penahanan lima lelaki berasingan dalam dua serbuan di bandar raya ini.

Selain penahanan mereka, polis turut merampas 9.88 kilogram disyaki syabu, 16.4 kg heroin dan 940 biji pil ekstasi yang kesemuanya dianggar bernilai RM814,000, dipercayai untuk diedar kepada banduan di penjara berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia