Utusan Borneo (Sarawak)

Mahkamah tetapkan 20 Feb depan hujahan lanjut rayuan bekas guru

-

Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 20 Februari depan bagi hujahan lanjut berhubung rayuan seorang bekas guru, L. Subbarau @ Kamalanath­an, yang mendakwa dinafikan haknya untuk memanggil semula saksi pendakwaan selepas berlaku pertukaran hakim yang mengendali­kan kesnya.

Pesuruhjay­a Kehakiman Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata di bawah Seksyen 261 Kanun Prosedur Jenayah, apabila hakim yang mengendali­kan kes bertukar, tertuduh berhak memanggil semula saksi- saksi yang memberi keterangan.

“Jika berlaku prejudis kepada perayu, boleh diperintah­kan di mahkamah ( untuk) retrial sama ada bermula di kes pembelaan atau pendakwaan.

“Pada saya, kegagalan hakim Mahkamah Sesyen untuk membenarka­n permohonan pihak pembela memanggil semula saksi, iaitu pengadu dan pegawai penyiasat, telah memprejudi­s hak perayu,” katanya.

Subbarau didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Februari tahun lepas, kerana memiliki kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 secara tidak sah.

Dia didakwa atas lima pertuduhan memiliki soalan UPSR 2014 bagi mata pelajaran Matematik 035/ 1 dan Matematik 015/1, Bahasa Tamil-Pemahaman 036 dan Bahasa Tamil-Penulisan 037 serta Sains 081 melalui seunit telefon pintar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 8 hingga 16 September 2014, di sebuah rumah di Jalan Bukit Galena 13, Taman Bukit Galena, Fasa 4, Seremban di sini.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga tujuh tahun.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddi­n Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Omar Kutty.

Sementara itu, ketika ditemui di luar kamar, Omar berkata pada prosiding sebelum ini, pihaknya telah membuat permohonan memanggil semula dua saksi iaitu, Pengarah Lembaga Peperiksaa­n Malaysia, Dr Naimah Ishak dan pegawai penyiasat, selepas hakim pertama yang mengendali­kan kes Subbarau bersara.

Bagaimanap­un, hakim Mahkamah Sesyen tidak membenarka­n permohonan tersebut dan meneruskan p e r b i c a r a a n s e b e l u m menjatuhka­n hukuman penjara lima tahun terhadap Subbarau, namun membenarka­n hukuman ditangguh sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

“Seksyen 261 adalah jelas, bila hakim bertukar maka tertuduh ada hak untuk panggil semula saksi pendakwaan yang dahulu.

“Kita akan pertikaika­n yang hak perayu telah diprejudis dan sebarang dapatan mahkamah yang mengatakan dia bersalah adalah tidak selamat atau ‘ unsafe condition’ kerana haknya untuk perbicaraa­n yang adil telah dinafikan,” katanya.

Pada 16 April 2015, Subbarau bersama seorang lagi guru, P Murugan, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki kertas itu selepas Mahkamah Sesyen berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktika­n kes prima facie terhadap tertuduh.

— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia