Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas eksekutif mengaku tak bersalah palsukan dokumen, pecah amanah

-

Seorang bekas eksekutif di sebuah kedai pajak gadai Ar-Rahnu mengaku tidak bersalah terhadap 31 pertuduhan memalsukan dokumen dan pecah amanah barang kemas bernilai RM494,554 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini, semalam.

Tertuduh, Natasya Mohd Zahid, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-15, tertuduh yang bertugas sebagai penaksir di kedai tersebut, didakwa memperdaya Ketua Kedai Ar Rahnu X’Change Norhafizah Hanom Mohd Ab Halim dengan mengemukak­an dokumen mengandung­i butiran palsu untuk kelulusan pinjaman gadaian barang kemas keseluruha­n berjumlah RM204,410.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai Ar Rahnu X’Change di Jalan Kebun Sultan di sini, pada Mei hingga Oktober 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum di bawah Subseksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, bagi pertuduhan ke-16 hingga ke-31, Natasya didakwa melakukan pecah amanah dengan menggadaik­an barang kemas milik enam pelanggan bernilai RM290,144 pada tarikh dan di lokasi yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Kelantan Shahidah Muslimah Roslan memohon jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanap­un, peguam tertuduh, Datuk Mohd Hakimi Ab Kadir memohon jaminan sebanyak RM10,000 dengan mengambil kira latar belakang Natasya yang tidak lagi bekerja.

“Tertuduh juga perlu menjaga anak berusia setahun setengah dan perlu menjalan rawatan akibat penyakit ketumbuhan dalam perut,” katanya.

Mahkamah kemudianny­a membenarka­n tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintah­kan pasport diserahkan kepada polis serta turut memerintah tertuduh supaya tidak membuat sebarang hubungan dengan saksi.

Mahkamah menetapkan 4 Mac depan untuk sebutan semula kes tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia