Utusan Borneo (Sarawak)

‘Geng Tepung Susu’ tumpas, 218 susu produk dirampas

-

Polis menumpaska­n ‘Geng Tepung Susu’ yang terlibat dalam sembilan kes mencuri susu tepung bernilai RM20,000 di pasar raya sekitar bandar raya ini, dengan tertangkap­nya tiga individu termasuk dua beranak Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata wanita berumur 36 tahun serta anak lelaki berumur 15 tahun dan adik lelakinya berumur 19 tahun ditahan polis di sebuah banglo yang disewa mereka di Taman Menglembu Impiana Adril di sini, kira-kira jam 11 malam.

Beliau berkata pemeriksaa­n di dalam rumah itu menemui 218 tin dan kotak susu pelbagai jenama antaranya Anlene Gold, Snow Neobaby, Snow Neokid Plus, Fridso, Frisolac, Ensure Gold, Anmum dan Enfragrow selain merampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza serta sebuah telefon bimbit.

“Hasil siasatan mendapati seorang lelaki lain berusia 40- an yang merupakan rakan wanita terbabit akan menjual susu tepung yang dicuri itu kepada orang lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini semalam.

Menurut Mohd Ali, berdasarka­n siasatan, modus operandi yang dilakukan geng itu ialah dengan bantuan lelaki berumur 40-an berkenaan yang memasuki pasar raya dan bertindak mengalihka­n beberapa susu tepung ke tempat lain bagi mengelak kegiatan itu dirakam kamera litar tertutup.

“Wanita terbabit kemudian masuk ke dalam pasar raya dan memasukkan susu yang telah dialihkan itu ke dalam beg manakala lelaki berkenaan mengalihka­n pandangan pekerja di kaunter pasar raya dengan membeli barang dengan harga yang murah dan membuat bayaran.

“Wanita itu kemudian keluar dari pasar raya manakala adik dan anaknya itu tunggu di luar pasar raya sebelum mereka melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Bezza yang disewa,” katanya dan menambah pasar raya yang menjadi sasaran mereka antaranya di Sungai Senam, Lahat dan Jelapang.

Beliau berkata wanita itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitka­n kes yang sama di Ipoh dan Nibong Tebal manakala anak dan adiknya tiada rekod jenayah.

“Wanita itu merupakan ibu tunggal dan tiada pekerjaan sementara anaknya tidak bersekolah. Mereka melakukan kegiatan itu sejak awal tahun lepas,” katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan dan ketiga-tiga mereka direman lima hari mulai kelmarin.

Katanya, polis kini sedang mengesan lelaki yang berumur 40-an itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia