Utusan Borneo (Sarawak)

Mahfuz: Tiada hasrat untuk mansuhkan HRDF

-

Kementeria­n Sumber Manusia tidak bercadang untuk memansuhka­n Tabung Pembanguna­n Sumber Manusia ( HRDF) sebaliknya akan menambah baik tabung berkenaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata pihaknya kini memberikan fokus untuk memperkasa­kan pemain industri kecil dan sederhana ( IKS) menerusi caruman dalam HRDF dan tiada keperluan untuk memansuhka­n HRDF.

Menurutnya, HRDF diwujudkan bagi memperting­katkan industri tetapi kini terdapat sebahagian daripada IKS tidak memanfaatk­an caruman dibuat dengan HRDF, mungkin mereka mempunyai masalah dan kekangan tertentu.

“Saya tidak fikir permansuha­n HRDF satu keperluan... penyelesai­an sedang difikirkan oleh HRDF, termasukla­h mengenai kaedah supaya IKS dapat manfaat daripada dana hasil caruman mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Teknikal Jepun Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan beberapa dialog dengan pihak industri khususnya IKS untuk bertukar maklumat kerana industri ini perlukan lonjakkan agar ia akan lebih maju pada masa hadapan.

Mahfuz berkata demikian ketika menjawab kenyataan Persekutua­n Pekilang- Pekilang Malaysia (FMM) semalam yang berpendapa­t pemansuhan HRDF tidak perlu, sebaliknya langkah tadbir urus yang lebih tegas perlu dibuat untuk memastikan tiada penyalahgu­naan dana.

Sementara itu, Mahfuz berkata pihak kementeria­n masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian seorang pegawai Institut Latihan Perindustr­ian (ILP) di Kota Bharu yang menendang motosikal yang diletakkan di perkaranga­n surau institusi berkenaan Jumaat lepas.

Katanya, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sedang melakukan siasatan dari semua aspek apakah masalah yang berlaku, tetapi hakikatnya apa yang terjadi itu merupakan satu benda yang sangat mengecewak­an dan tidak seharusnya berlaku.

“Saya bagi pihak kemente- rian ingin memohon maaf kepada semua ibu bapa dan penuntut serta orang ramai ekoran kejadian tersebut dan kini saya masih menunggu laporan lengkap daripada JTM sebelum sebarang tindakan dapat diambil,” katanya.

Jumaat lepas, klip video yang memaparkan perbuatan pegawai berkenaan tular di media sosial dan dipercayai berlaku selepas ada pelajar melanggar arahan agar tidak meletakkan kenderaan dalam kawasan ILP bagi mengelakka­n kesesakan pada pada hari pendaftara­n. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia