Utusan Borneo (Sarawak)

ASKEM Kedah rampas mercun bernilai lebih RM90,000

-

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah merampas pelbagai jenis mercun bernilai lebih RM90,000 dalam serbuan di sebuah rumah tidak berpenghun­i di Padang 1, Changlun dekat sini, kelmarin.

Komander AKSEM Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman berkata serbuan yang dilakukan kira-kira jam 3.30 petang itu dilakukan berdasarka­n maklumat awam dan risikan ke atas rumah berkenaan yang dipercayai dijadikan stor penyimpana­n mercun.

Katanya, ketika serbuan, dua lelaki tempatan yang berada di rumah itu berjaya melarikan diri sebaik menghidu kehadiran pihak berkuasa.

“Pemeriksaa­n lanjut di rumah itu menemui sejumlah kotak berisi mercun di ruang tamu rumah sebelum menemui sebuah kereta yang berkunci dari dalam yang berisi beberapa lagi kotak mercun di bahagian penumpang belakang dan tempat simpanan belakang kenderaan.

Kesemua barang yang dirampas dianggarka­n bernilai lebih RM90,000 dibawa balik ke pejabat AKSEM Bukit Kayu Hitam sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati, kesemua mercun itu diseludup masuk dari negara jiran dan diletakkan sementara di rumah terbabit yang terletak di kawasan terpencil untuk diedarkan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina nanti.

Kes di siasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan tidak berkastam.

Sementara itu, Abdul Latif berkata AKSEM Kedah akan terus memperketa­tkan kawalan di sekitar kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludup­an mercun dan barangan terlarang lain sepanjang musim perayaan ini.

Katanya, seramai 130 anggota akan ditugaskan 24 jam sehari bagi mengawal sempadan dan membuat pemeriksaa­n rapi pada kenderaan yang keluar dan masuk dari Thailand. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia