Utusan Borneo (Sarawak)

Pelajar perlu ada personalit­i positif untuk berjaya: Maslee

-

Golongan pelajar perlu mempunyai personalit­i tersendiri yang memberi impak positif kepada orang di sekeliling mereka untuk menempa kejayaan gemilang dalam kehidupan masing-masing.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata personalit­i yang baik ini hanya mampu dibentuk dengan rutin disiplin yang tinggi serta matlamat yang jelas dan ia memerlukan sokongan semua pihak terutama guru, ibu bapa dan masyarakat.

“Guru pula jangan lokek untuk berikan pujian dan senyuman kepada pelajar-pelajar ini, tak kira walau nakal mana sekalipun mereka, berilah harapan dan pujian untuk mereka kerana sokongan seperti ini mampu memberikan mereka motivasi dan membentuk keperibadi­an mulia satu hari nanti.

“Pakcik ingin anak di depan ini mempunyai personalit­i yang hebat dan berjaya pada masa hadapan sebagai peguam, doktor, saintis, atlet sukan, jurugambar, wartawan, malah mungkin ada yang akan jadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Singgah Cakna Menteri Pendidikan bersama ‘Syukur Khamis Kampung Boy’ dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini, semalam.

Pelajar tingkatan dua yang popular setelah gambarnya bersama kerbau peliharaan ayahnya tular dalam media sosial itu diraikan bagai pahlawan Melayu dengan memakai songket hijau muda lengkap bertanjak pada majlis itu.

Selain Muhammad Syukur, turut diraikan dalam majlis bersama Menteri Pendidikan itu ialah murid Cina dari Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (SKTJ), Por Hui Ling, 12, yang memperoleh­i keputusan luar biasa apabila berjaya meraih 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) pada tahun lepas.

Sementara itu, bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 63, berkata beliau terharu dengan penghargaa­n yang diberi oleh Menteri Pendidikan terhadap keunikan anak bongsunya itu dan berharap ‘keajaiban’ itu dapat memberi inspirasi kepada orang lain.

“Setiap hari, kandang kerbau pok di Kampung Kubang Bujuk dikunjungi ramai orang yang mahu melihat aksi Syukur bersama haiwan peliharaan itu.

“Alhamdulil­lah, sejak kejayaan foto Syukur itu diiktiraf peringkat antarabang­sa, banyak pihak ‘buka mata’ dengan keindahan suasana kampung yang masih terpelihar­a dari pencemaran di situ,” katanya yang dilihat begitu gembira dan sebak ketika memeluk Maszlee di atas pentas dalam majlis itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia