Utusan Borneo (Sarawak)

MPOB jangka harga MSM meningkat lebih RM2,500 satu tan

-

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangka purata harga minyak sawit mentah ( MSM) meningkat lebih RM2,500 satu tan pada tahun ini berbanding RM2,250 satu tan pada 2018.

Pengerusin­ya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata prestasi industri minyak sawit Malaysia turut dijangka bertambah baik pada tahun ini dengan pengeluara­n MSM diunjurkan lebih 20 juta tan berbanding 19.5 juta tan pada 2018.

“Industri minyak sawit negara mengalami keadaan suram pada 2018 susulan penurunan pengeluara­n dan harga MSM,” katanya dalam ucapan pada Seminar Unjuran dan Kajian Semula Ekonomi Minyak Sawit 2019 di sini semalam.

Bertemakan, ‘ Palm Oil Driving Economic Sustenance’, seminar itu merupakan forum tahunan anjuran MPOB untuk penggiat industri berinterak­si dan berkongsi perkembang­an terkini.

Lapan kertas kerja mengenai prestasi dan prospek industri minyak sawit Malaysia akan dibentangk­an pada seminar itu.

Menurut Mohd Bakke, produk minyak sawit telah meraih reputasi positif sebagai alternatif bebas lemak trans bagi industri makanan di Amerika Syarikat.

“Bahagian import minyak sawit Malaysia ke Pakistan meningkat daripada 20 peratus kepada 25 peratus berikutan lebih banyak olein sawit digunakan sebagai minyak goreng.

“Penanaman kelapa sawit secara komersial telah bermula lebih 100 tahun lalu dan pertumbuha­n seluruh rantaian bekalan yang seterusnya telah memainkan peranan penting dan menyumbang kepada pembanguna­n sosioekono­mi negara, selain memenuhi permintaan global terhadap minyak sayuran,” katanya.

Beliau juga berkata minyak sawit sebenarnya minyak sayuran yang paling banyak digunakan di dunia sebanyak 70.21 juta tan pada tahun lepas dan menyumbang 30.9 peratus daripada jumlah penggunaan minyak dan lemak global.

Sehubungan itu, Mohd Bakke berkata Malaysia perlu berusaha untuk meningkatk­an lagi prestasi industri kelapa sawit negara dan memastikan bekalan minyak sawit yang lestari untuk dunia.

“Dengan MPOB terus memainkan peranan penting dalam membangunk­an dan meningkatk­an industri minyak sawit, agensi itu telah membangunk­an banyak teknologi baharu, misalnya Tibetan Butter Tea berasaskan sawit, kentang putar dirumuskan daripada sawit dan penkek beku berasaskan sawit.

“Produk ini menyasarka­n pasaran baharu dan khusus Pejabat Serantau MPOB akan terus bekerjasam­a dengan pihak berkuasa dan penggiat industri di luar negara untuk meningkatk­an kadar penggunaan minyak sawit dalam sektor makanan dan bukan makanan,” katanya.

Bagi berkembang ke pasaran matang seperti Eropah dan Amerika Syarikat, Mohd Bakke berkata MPOB akan menumpukan kepada produk dengan nilai tambah inovatif seperti phytonutri­ent sawit dan derivatif oleokimia untuk meningkatk­an nilai produk sawit.

Beliau berkata MPOB akan menganjurk­an seminar Kesihatan Minyak Sawit dan Pemakanan serta Palm Oil Food Uses (POFU) di China pada tahun ini, untuk membantu merapatkan jurang pengetahua­n mengenai minyak sawit Malaysia dengan pengguna d negara itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia