PELABURAN SCORE RM80 BILION
Menerusi Pelan Pembangunan SCORE, Sarawak dijangka jana kira-kira RM334 bilion dalam bentuk pelaburan
KUCHING: Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) merekodkan kira-kira RM80 bilion nilai pelaburan awam dan swasta sehingga kini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata menerusi Pelan Pembangunan SCORE, Sarawak dijangka menjana kira-kira RM334 bilion dalam bentuk pelaburan.
“Apabila Pelan Pembangunan SCORE direalisasi sepenuhnya menjelang 2030, ia dijangka mewujudkan 1.6 juta peluang pekerjaan baharu terutama bagi golongan muda Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena Tahun Baharu Cina 2019 semalam.
Abang Johari berkata kejayaan Taman Teknologi Tinggi Samajaya juga amat menggalakkan.
“Baharu sahaja minggu lepas saya merasmikan fasa pertama fasiliti pengeluaran elekfoil di Samajaya bernilai RM400 juta.
“Jumlah pelaburan syarikatsyarikat di Samajaya telah melebihi RM12 bilion dan lebih empat syarikat asing menunjukkan kesediaan untuk melabur di sana,” jelasnya.
Menurutnya pelabur terutama dari China dan Korea Selatan, akan terus memberi sokongan kepada program perindustrian Sarawak khususnya di Taman Perindustrian Samalaju dan Taman Teknologi Tinggi Samajaya.
“Ini kerana bagi pelabur dari kedua-dua negara ini, Sarawak mempunyai politik yang stabil, dasar-dasar kita konsisten dan tenaga diperbaharui kita mempunyai keupayaan sangat besar,” katanya.
Abang Johari juga yakin ekonomi Sarawak akan berkembang pada kadar menggalakkan dalam beberapa tahun akan datang disebabkan dasar negeri mengkhusus bagi tujuan itu.
“Seperti yang saya katakan semasa ucapan Belanjawan Sarawak 2019, ekonomi negeri dianggarkan berkembang pada kadar 5.0 peratus pada 2019 berbanding 4.6 peratus pada 2018 walaupun terdapat cabaran dihadapi dalam ekonomi negara dan global,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata perbelanjaan awam untuk pembangunan infrastruktur bagi tahun ini dan tahun-tahun mendatang pada rekod tertinggi.
Sarawak tidak akan mengurangkan jumlah projek (pembangunan infrastruktur) sebaliknya mempunyai cara untuk membiayai pelaksanaannya dengan mengenakan cukai lima peratus ke atas minyak dan gas.
“Ekonomi berkembang bermaksud akan ada lebih banyak kerja untuk kontraktor dan konsultan kita, lebih banyak perniagaan untuk peniaga hingga ke peruncit kecil-kecilan di bandar di seluruh negeri,” katanya.