Pengurusan sekolah diminta kekal momentum kecemerlangan akademik dan kokurikulum
Pihak pengurusan sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai diminta terus mengekalkan momentum kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.
Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha itu penting untuk memastikan bidang pendidikan di kawasan itu terus terserlah.
“Dengan usaha ini juga, ia dapat memastikan anakanak di sini terus cemerlang dan seterusnya menjanjikan masa depan yang lebih baik kepada mereka.
“Pada masa sama, saya ingin menggesa pihak sekolah mengemukakan keperluan mendesak di sekolah masing-masing kepada Kerajaan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Teh Badan Muafakat Pendidikan Pantai Damai di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Sementara itu, Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Pantai Damai berkata, generasi muda tidak boleh dikecualikan daripada menuntut ilmu kerana ia penentu masa depan mereka.
Dalam dunia moden sekarang katanya, ilmu merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian.
“Kekurangan ilmu akan menyebabkan anak muda sukar mengadaptasi kehidupan yang berubah dengan pesat sehingga terjebak dengan gejala sosial.
“Maka itu, setiap pelajar bermula dari tahun satu perlu dibentuk untuk menjadi generasi muda berilmu,” katanya.
Beliau dalam pada itu, merakamkan penghargaan kepada Badan Muafakat Pendidikan Pantai Damai kerana menjadi pendorong kepada kejayaan yang dicapai dalam pendidikan selama ini.
Badan Muafakat itu katanya, dianggotai semua pengetua dan guru besar dari lima sekolah menengah dan 13 sekolah rendah bersama Biro Pendidikan Pantai Damai.