Kemajuan dan pembangunan Betong hasil sumbangan kakitangan kerajaan
Kemajuan dan pembangunan yang dikecapi di Betong selepas dinaik taraf sebagai bahagian pada 26 Mac 2002, adalah hasil sumbangan kakitangan kerajaan dari seluruh negeri ini.
Demikian ujar, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah sambil menyatakan betapa kerajaan begitu menghargai jasa mereka ini termasuk komitmen, kerjasama, profesionalisme dan integriti yang telah diberikan selama ini.
“Bagaimanapun, perlu saya ingatkan di sini bahawa masa depan akan menjadi lebih mencabar.
“Tuntutan dan kehendak masyarakat akan berganda dengan bertambahnya penduduk dan sudah tentu mereka mahukan perkhidmatan yang lebih berkualiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Perkhidmatan Awam Bahagian Betong, malam Jumaat lepas.
Beliau menambah, kerajaan telah menyediakan banyak infrastruktur dan lebih banyak kemudahan akan dibawa ke Betong selepas ini.
“Ini termasuk RM580 juta projek rakyat yang diperuntukkan di sini termasuk 15 menara telekomunikasi baharu.
“Di samping itu, terdapat projek kecil bernilai RM30 juta di bawah Program Transformasi Luar Bandar,” katanya menambah.
Sehubungan itu, kerajaan GPS kini mahu memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan penduduk luar bandar melalui aktiviti ekonomi seperti Kawasan Agropolitan Bukit Sadok yang merangkumi bahagian Sri Aman, Betong dan Sarikei.
Beliau berkata program itu akan dilaksanakan menerusi amalan pertanian moden dengan penternakan dan pemprosesan makanan serta pembuatan.
“Apa sahaja projek yang kita laksanakan untuk rakyat, mereka mesti melakukannya mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Elakkan amalan rasuah di mana integriti anda akan dicabar. Dengan gembira saya nyatakan di sini SPRM belum lagi memanggil sesiapa sahaja untuk disiasat,” katanya.
Pada majlis itu, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban mengumumkan pemberian RM30,000 untuk majlis yang sama diadakan pada tahun depan serta RM20,000 daripada ADUN Layar Gerald Rentap Jabu.
Uggah hadir ditemani isterinya Datin Amar Doreen Mayang, Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong Friday Belik dan pengerusi penganjur Dr Johnny Pangkas.