Pongal jadikan Sarawak lebih unik dengan kepelbagaian agama, kaum dan budaya
Perayaan Pongal oleh masyarakat Hindu di negeri ini menjadikan Sarawak lebih unik dari segi kepelbagaian agama, kaum serta budayanya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, Pongal merupakan perayaan musim menuai yang diraikan masyarakat Hindu di seluruh dunia.
“Terima kasih kepada komuniti Hindu atas perkongsian budaya tradisi mereka yang menjadikan Sarawak lebih pelbagai.
“Perayaan ini bukan sahaja melibatkan komuniti Hindu tetapi juga kaum-kaum lain di negeri ini,” katanya ketika berucap pada perayaan Pongal di Tebingan Kuching di sini semalam.
Perayaan tersebut merupa- kan anjuran Majlis Hindu Sangam Malaysia Sarawak dan Hindu Sangam Malaysia.
Pada majlis itu, Dr Sim turut berterima kasih kepada komuniti Hindu yang memberi kerjasama kepada kejayaan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Kita berterima kasih kepada Allahyarham Tok Nan yang telah memperkenalkan idea untuk menubuhkan unit ini.
“Setelah UNIFOR mempunyai tanah sendiri nanti, unit ini akan dapat menjana dana untuk kebajikan semua organisasi di negeri ini,” katanya.
Tambah Dr Sim, tahun ini sejumlah RM30 juta diperuntukkan kepada UNIFOR dan dengan pengenalan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum, lebih banyak dana akan dapat dikongsikan kepada komuniti di negeri ini.
Bercakap mengenai perayaan tersebut, Pengerusi Majlis Hindu Sangam Malaysia Sarawak Thondarmani Krishnarao berkata ia merupakan perayaan istimewa untuk komuniti Hindu.
Perayaan ini disambut pada hari pertama bulan Thai dan disambut selama empat harti dalam kalendar kaum India.
Hari pertama perayaan Pongal dikenali sebagai ‘Bhogi’ iaitu hari untuk Dewa Awan dan Hujan manakala hari kedua perayaan dipanggil ‘Thai Pongal’ yang khusus untuk Dewa Matahari.
Hari ketiga perayaan dikenali sebagai ‘Mattu Pongal’ khusus untuk lembu dan hari terakhir dikenali sebagai ‘Kaanum Pongal’ yang merupakan hari istimewa untuk wanita.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, Ketua UNIFOR Datu Dr Ngenang Janggu dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penerangan Islam Sarawak (SIIC) Zabariah Matali.