Pasar Tani Melaka catat jualan RM9.7 juta tahun lepas
Pasar tani di negeri ini mencatat jualan RM9.7 juta tahun lepas menurun daripada RM11 juta yang dicatat pada tahun sebelumnya, kata Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Che Samudin Hassan.
Beliau berkata pengurangan berkenaan disebabkan beberapa faktor utama termasuk kurangnya kuasa pembeli pada tahun lepas selain 10 daripada 28 pasar tani di negeri ini tidak aktif.
“Pasar tani yang tidak aktif pula disebabkan beberapa faktor lain seperti lokasi tidak strategik atau kurang mendapat sambutan sehingga menyebabkan jumlah peserta pasar tani berkurang.
FAMA akan melakukan penambahbaikan bagi memastikan jualan pasar tani di negeri ini kembali meningkat sekali gus dapat menarik kunjungan pembeli,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasar Tani Khas sempena Tahun Baru Cina 2019 di Pasar Tani Lorong Pandan di sini, semalam.
Pelancaran pasar tani khas itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kesidang Seah Shoo Chin.
Mengulas lanjut, Che Samudin berkata sehingga kini jumlah peserta di 28 pasar tani di negeri ini ialah 286 orang dan terdapat antara mereka bergerak dari satu pasar tani ke pasar tani lain.
Beliau berkata sebanyak 12 pasar tani khas sempena Tahun Baharu Cina akan beroperasi secara berperingkat di kawasan terpilih bermula 31 Jan hingga 6 Feb depan.
Katanya pasar tani berkenaan termasuk di Lorong Pandan, Bandar Alor Gajah, Pekan Merlimau, Pekan Selandar, Taman Merdeka, Bukit Katil, Pekan Lubok Cina, Masjid Tanah, Cheng Baru, Bandar Jasin, Pekan Durian Tunggal dan Kuala Sungai Baru.
Sementara itu, beliau berkata FAMA Melaka dalam usaha menarik penglibatan peserta ladang kontrak di negeri ini untuk mengumpul hasil tanaman petani kecil dan menjualnya pada harga jauh lebih murah antara lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran.
“Sekarang ini, kita sudah ada tiga peserta ladang kontrak yang menyertai jualan pasar tani agar petani kecil tidak perlu memikirkan medium atau di mana hendak memasarkan hasil tanaman mereka,” katanya. — Bernama