Utusan Borneo (Sarawak)

Enam sahabat leka main ‘holo’ dicekup

-

Enam sahabat bermalam di lokap polis pada malam Tahun Baharu Cina apabila dicekup polis ketika sedang leka meneka biji ‘holo’ di sebuah premis yang dijadikan pejabat lembaga pengurusan sebuah sekolah di pekan Buso, Bau sekitar jam 10.45 malam Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, serbuan tersebut dibuat susulan laporan awam yang mengesyaki berlaku kegiatan perjudian di premis itu.

“Semasa serbuan dilakukan didapati keenam-enam suspek sedang duduk di hadapan sebuah meja di mana didapati terdapat satu helai kain tertera gambar ayam, ketam, harimau, labu, udang dan ikan.

“Pemeriksaa­n lanjut juga mendapati terdapat satu ‘kong’ holo di mana terdapat tiga biji dadu yang tertera gambar-gambar yang sama seperti pada kain tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, keenam-enam suspek yang berusia 32 hingga 51 tahun kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM1,744,” kata Poge.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia