Utusan Borneo (Sarawak)

Angin kencang sukarkan operasi padam kebakaran

-

Operasi memadamkan kebakaran yang melibatkan kawasan seluas 2.4 hektar di Gunung Baling, Baling berdepan kesukaran berikutan keadaan cuaca panas dan angin kencang.

Menurut Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling Mohd Jamil Mat Daud, setakat ini pihaknya hanya berupaya memadamkan kebakaran di kira-kira 10 peratus daripada kawasan terjejas.

“Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 5.28 petang kelmarin dan 14 anggota dikerahkan ke lokasi yang terletak di paras ketinggian 260 meter dari aras laut itu.

“Kawasan yang terbakar merebak berikutan keadaan cuaca panas dengan angin berkelajua­n 15 kilometer sejam,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Menurutnya operasi turut dibantu oleh lebih 50 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa termasuk malim gunung.

Beliau berkata operasi pemadaman akan diteruskan hari ini (semalam) dengan penggunaan helikopter.

Punca kebakaran masih belum diketahui namun pihak bomba tidak menolak kemungkina­n ia disebabkan oleh aktiviti pendakian, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia