Utusan Borneo (Sarawak)

Warga asing didakwa simpan dan miliki arak dan rokok larangan

-

Dua lelaki warga asing masing- masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menyimpan dan memiliki barang larangan iaitu rokok dan minuman keras yang tertakluk di bawah perintah Kastam Diraja Malaysia 2017.

Palanisamy Durai, 49, warga India dan Rasel Mozumder, 29, rakyat Bangladesh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Palanisamy seorang penebar roti canai didakwa menyim- pan dan memiliki 196 tin minuman keras pelbagai jenama antaranya Beer Royal Wilkies dan Beer Merlin’s Extra Strong berjumlah 74 liter yang bernilai RM333 dan duti import sebanyak RM370.

Dia yang diwakili peguam Darshan Singh Sandhu, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Blok 8, Jalan 6C/11, Bandar Baru Bangi, pukul 10 malam pada 26 Januari 2019.

Rasel seorang pekerja kedai pula didakwa menyimpan 2,380 batang rokok pelbagai jenama antaranya rokok putih jenama Manchester, Concept dan Zon King bernilai RM218.20 dan duti Import sebanyak RM476.

Dia yang diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi dituduh melakukan perbuatan itu di premis Siti Nurhidayah Enterprise, di Taman Teknologi Kajang, Semenyih, jam 1.40 petang pada 29 Januari 2019.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 133(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia