Utusan Borneo (Sarawak)

‘Kasino’ diserbu, sembilan lelaki leka berjudi diberkas

-

Kegiatan sembilan lelaki yang menjadikan sebuah pondok di Perkampung­an Juru di sini, sebagai ‘kasino’ untuk berjudi terbongkar apabila mereka diserbu polis petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata kesemua lelaki berumur antara 33 dan 69 tahun itu dipercayai menggunaka­n pondok berkenaan untuk berjudi sejak seminggu lepas.

“Pasukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah SPT yang menyerbu pondok itu turut merampas wang tunai berjumlah RM950 dipercayai wang pertaruhan dan 52 keping daun terup,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata beberapa lelaki terbabit cuba melarikan diri semasa serbuan kira-kira 4.15 petang itu namun gagal meloloskan diri apabila pasukan polis telah mengepung kawasan berkenaan terlebih dahulu.

“Mereka kini direman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalanka­n perjudian secara haram,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia