Utusan Borneo (Sarawak)

Operasi SAR warga Pakistan diteruskan

-

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) lelaki warga Pakistan yang dikhuatiri lemas di Pantai Paka kelmarin disambung semula pada kira- kira jam 6.30 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Saifuddin Muhammad berkata seramai 16 anggota bomba terlibat dalam operasi itu yang merangkumi pencarian di kawasan pesisir pantai dan dalam air.

“Pencarian di pesisir pantai dijalankan di kawasan sekitar lima kilometer di kiri dan kanan lokasi kejadian manakala di dalam air pula di kawasan lima kilometer dari pantai.

“Operasi SAR di laut dijalankan oleh 10 anggota termasuk lima dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Chukai manakala lima lagi anggota dari BBP Dungun,” katanya ketika ditemui di sini.

Selain itu, menurut beliau pencarian pagi semalam turut dibantu oleh 11 anggota polis dan tujuh Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam kejadian pada kirakira 2.30 petang kelmarin, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di pantai itu bersama tiga rakannya yang lain. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia