Utusan Borneo (Sarawak)

Dua maut, tiga parah dalam kemalangan babit lima motosikal

-

Dua lelaki maut manakala empat lagi cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan melibatkan lima motosikal di Km40 Jalan Lumut-Ipoh di Seri Iskandar, awal semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 pagi melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik dan masing-masing dua Yamaha 125Z serta Yamaha LC.

“Penunggang motosikal jenis Modenas Dinamik, Muhamad Saufi Abd Latid, 22, yang juga anggota tentera di Kem Sungai Udang, Melaka, mengalami cedera parah di kepala manakala adiknya yang membonceng, Aidil Hakimie, 19, maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Turut maut ialah penunggang Yamaha 125Z, Syed Muhammad Badrul Amin Syed Mohd Nasir, 23, beralamat di FECLRA Nasaruddin Belia, Bota yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang.

“Penunggang sebuah lagi Yamaha 125Z, Muhammad Aiman Rusli, 20, beralamat di Titi Gantung, patah tangan kanan manakala penunggang Yamaha LC, Abu Kassim Mohd Saad, 25, dari LayangLaya­ng Kiri, patah kaki kanan,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, seorang lagi penunggang Yamaha LC, Mohamad Idham Mohd Mokhtar, 21, beralamat di Teluk Bakong hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua motosikal berkenaan datang dari arah sama iaitu dari Durian Kudung menghala ke Bota.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal bergesel dengan motosikal lain sehingga terjatuh di atas jalan dan menyebabka­n tiga lagi motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal yang terjatuh itu.

“Akibat daripada itu, kesemua motosikal berkenaan terseret di atas jalan di pelbagai arah yang menyebabka­n seorang pembonceng maut di tempat kejadian dan seorang penunggang disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Beliau berkata dua mangsa yang maut dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Hutan Melintang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia