Utusan Borneo (Sarawak)

Ketua kumpulan Gee Tiong Seng antara 16 suspek ditahan kes culik

-

Ketua kumpulan kongsi gelap Gee Tiong Seng antara 16 suspek yang ditahan polis kerana terlibat dalam penculikan seorang ahli perniagaan di Gelang Patah, Johor, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kesemua suspek melibatkan 13 lelaki dan tiga wanita itu ditahan di lokasi berasingan selepas mangsa dibebaskan pada 31 Jan.

“Kesemua suspek yang ditahan warganegar­a Malaysia berusia lingkungan 21 tahun hingga 59 tahun.

“Lima daripada suspek yang ditahan merupakan ahli kongsi gelap Gee Tiong Seng dan Ah Hor, dengan seorang merupakan Ketua Kumpulan Kongsi Gelap Gee Tiong Seng,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini semalam.

Menurut Mohd Khalil, kumpulan kongsi gelap berkenaan dipercayai bergerak aktif sejak 2010 di sekitar kawasan Tun Aminah dalam aktiviti perjudian dan pemerasan.

Mohd Khalil berkata hasil siasatan turut mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Selain itu, pihaknya juga mengesan baki suspek yang masih bebas serta menyemak rekod-rekod kes pemerasan lampau menggunaka­n senjata api untuk mengenal pasti sejauh mana penglibata­n mereka.

“Selain itu, pihaknya juga menemui semula dan merampas wang tunai RM108,188 dan merampas dua kenderaan yang dipercayai digunakan oleh kumpulan ini semasa penculikan,” tambah beliau.

Ketika ditanya mengenai motif, Mohd Khalil berkata penculikan dipercayai untuk mendapatka­n wang bagi membayar hutang dan mangsa menjadi sasaran kerana dia merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dan mempunyai wang yang banyak.

Kesemua suspek direman sehingga 11 Feb ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Kesemua mereka juga disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Pada 27 Jan lepas, seorang ahli perniagaan eksport sayur-sayuran ke Singapura diculik dua lelaki bertopeng ketika berjoging dengan rakannya di kawasan tangki air, Jalan Gelang Patah, kira-kira jam 7 pagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia