Menteri Luar secara peribadi tangani isu rakyat Malaysia ditahan di Kemboja: See
Menteri Luar secara peribadi sedang menguruskan perkara berhubung 47 rakyat Malaysia termasuk 44 dari Sarawak yang kini ditahan di penjara di Kemboja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How berkata, itu yang dinyatakan Menteri Kerja Raya Baru Bian semasa pertemuan ringkas dengan beberapa ahli keluarga yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia itu.
Beliau berkata, tiga ahli keluarga dengan dua daripadanya Bidayuh sementara sebuah keluarga Melayu, telah bertemu dengan Baru pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR Stampin di sini, semalam.
“Mereka adalah ibu bapa dan saudara kandung beberapa mangsa yang ditahan di Kemboja. Saya sendiri dan Baru Bian telah bertemu dengan mereka.
“Beliau (Baru) telah menyatakan dengan jelas bahawa Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah sedang mengkaji perkara ini.
“Maka, kita tahu menteri sedang berusaha mengenai perkara ini dan kita berharap semua rakyat Sarawak akan kembali tidak lama lagi,” katanya kepada The Borneo Post di sini, semalam.
See berkata, Baru secara peribadi telah berhubung dengan Saifuddin dan terkini beliau (Saifuddin) memberitahu akan secara peribadi menguruskan perkara berkenaan.
Naib Pengerusi PKR Negeri itu berkata, beliau mengetahui tentang ibu bapa dan saudara mangsa berada pada majlis berkenaan sebaik sahaja selesai sidang media yang diadakan.
Menurutnya keluarga berkenaan berasal dari Bau dan Kuching.
Khamis lepas, Kementerian Luar mengesahkan laporan berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Bantey Meanchey, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.
Kementerian Luar berkata makluman penahanan itu hanya diterima secara lisan daripada pihak polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu.
“Susulanitu,pegawaiKedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sudah mengadakan lawatan konsulat ke atas tahanan selepas mendapat maklumat yang lebih lengkap dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
“Lawatan itu bertujuan memastikan kebajikan para tahanan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.